AM

Kehadiran Atm Di Timur Sabah Tingkat Keyakinan, Rancak Ekonomi

07/07/2024 07:55 PM

SANDAKAN, 7 Julai (Bernama) -- Kehadiran pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Timur Sabah meningkatkan keyakinan masyarakat setempat serta merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan, ekonomi dan sosial di kawasan itu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu kehadiran pasukan di tiga kawasan lapisan berpadu merangkumi daratan, lautan serta udara itu, satu strategi cegah rintang berpadu bagi melindungi kepentingan negara daripada sebarang ancaman anasir luar.

"Perkara ini selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020–2030," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama delegasi Kementerian Pertahanan mengadakan lawatan kerja ke kawasan tanggungjawab (KTJ) Operasi Padanan dan Sipadan Island Resort (Op PASIR) Sektor Bravo di Pulau Berhala di sini hari ini.

Mohamed Khaled menerima taklimat daripada Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Brig Jen Wan Edenin Wan Mahsin mengenai tahap pengoperasian Op PASIR yang dilaksanakan sejak 2002 bagi melindungi kedaulatan dan keutuhan Timur Sabah daripada sebarang bentuk ancaman pencerobohan serta konflik.

"Mohamed Khaled juga meninjau kesiagaan pasukan ATM di sekitar kawasan operasi termasuk bertemu pegawai dan anggota yang ditempatkan di sekitar Sandakan," menurut kenyataan itu.

Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Wan Edenin iaitu pembelian peralatan sukan dan rekreasi bernilai RM10,000 daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bagi kegunaan anggota beroperasi dalam Op PASIR.

Kenyataan itu menjelaskan sumbangan berkenaan sebagai menzahirkan keprihatinan Kementerian Pertahanan dan kerajaan dalam menjaga kebajikan serta moral anggota ATM yang melaksanakan operasi berada pada tahap yang tinggi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan