JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Lelaki Maut Selepas Terjatuh Ke Dalam Tasik

08/07/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam tasik dipercayai ketika sedang mencari lokan di Taman Tasik Teratai Fasa 2 Serendah, Hulu Selangor dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 8.55 malam tadi selepas dikejarkan ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan MERS 999 berhubung kejadian itu pada 6.04 petang dan siasatan awal mendapati mangsa tergelincir ke dalam tasik tersebut sebelum beberapa rakannya meminta bantuan orang awam di kawasan sekitar.

Menurut Ahmad Faizal tiga anggota polis tiba di lokasi kejadian pada 6.08 petang dan mangsa  dikeluarkan dari tasik itu dengan bantuan orang awam pada 6.52 petang.

“Pada 7 malam, tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu sampai di lokasi dan telah memberikan pertolongan kecemasan kepada mangsa kerana ketika itu masih ada denyutan nadi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mangsa katanya dibawa ke Hospital Selayang untuk diberikan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan