JENAYAH & MAHKAMAH

Apmm Selangor Tahan Bot Bawa Lebihan Penumpang

08/07/2024 02:34 PM

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang pada sekitar 1 tengah hari di 0.3 batu nautika selatan Tanjung Harapan, dekat sini, semalam.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berkata bot penumpang itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 45 orang penumpang yang melebihi had dibenarkan dan tidak memakai jaket keselamatan. Bot tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru, masing-masing warga tempatan berusia 19 dan 40 tahun.

“Nakhoda, kru dan bot ditahan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan tindakan lanjut. Kesemua penumpang dibawa ke Jeti Pulau Ketam diiringi aset Maritim Malaysia,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan iaitu 11 orang dan tidak memakai jaket keselamatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan