AM

Melaka Explorace Diteruskan Tahun Hadapan - Ab Rauf

06/10/2024 02:13 PM

MELAKA, 6 Okt (Bernama) -- Pertandingan mencari harta karun Melaka Explorace anjuran kerajaan Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan diteruskan pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri akan meneruskan pertandingan itu sempena pelantikan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang akan berlangsung pada September 2025. 

“Terima kasih kepada Bernama yang telah menganjurkan program ini dengan jayanya … diharapkan pada tahun hadapan dapat ditambah baik dengan beberapa perkara yang kita lihat boleh memberikan nilah tambah kepada keceriaan dan jumlah peserta yang hadir.

“Saya amat berpuas hati dengan kejayaan program ini kerana dalam penerokaan terdapat beberapa perkara baharu tentang penilaian sejarah perlu dititikberatkan supaya sejarah ini dapat diperbetulkan tatkala kita dapat buat penyelidikan lebih terperinci tentang kewujudan Kesultanan Melayu Melaka dan juga Laksamana Hang Tuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Melaka Explorace 2024 anjuran kerajaan Melaka dengan kerjasama Bernama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) Arul Rajoo Durar Raj.

Mengulas mengenai Tahun Melawat Melaka, beliau berkata walaupun tidak diteruskan pada tahun hadapan namun pelbagai program menarik berkaitan aktiviti pelancongan tetap dilaksanakan bagi menyokong MTD dan WTC. 

“Tahun Melawat Melaka 2024 akan ditamatkan pada 31 Dis tahun ini tapi akan diteruskan dalam pelbagai program yang menjurus kepada aktiviti pelancongan dengan pengiktirafan Melaka sebagai tuan rumah kepada Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia.  

“Melaka akan gunakan ini sebagai platform mempromosikan negeri ini di peringkat dunia selain turut bersama-sama meraikan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan Persekutuan agar majlis pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 diadakan di Melaka.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan