POLITIK

Umno Akan Bertanidng Di Kuala Kangsar Jika Berlaku Prk - Zahid

08/07/2024 05:37 PM

KUALA KANGSAR, 8 Julai (Bernama) -- UMNO akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan dalam masa terdekat, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas menjadi sandaran bagi hasrat itu setelah UMNO memperoleh jumlah undi kedua tertinggi selepas calon parti lawan yang memenangi kerusi itu.

"Mengikut Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, formula dia kalau kerusi itu kita kalah (semasa pilihan raya) tetapi kita berada dalam kedudukan nombor dua (jumlah undi diperoleh), maka dalam pilihan raya akan datang kerusi itu wajib kita rampas semula," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Pada PRU15, calon Bersatu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menang kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan memperoleh 14,380 undi, manakala calon dari Barisan Nasional (BN) Maslin Sham Razman mendapat 10,814 undi. 

Selain Kuala Kangsar, Bersatu telah mengemukakan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk meminta supaya kerusi parlimen di Gua Musang, Jeli, Bukit Gantang, Tanjung Karang dan Labuan dikosongkan.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata pembahagian kerusi antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRU16 akan dibincangan secara terperinci dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi bagi memastikan tiada pertindihan antara kedua-duanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan