AM

RUU KANUN KESEKSAAN DIBENTANG UNTUK BACAAN KALI KEDUA, TANGANI PENINGKATAN PENIPUAN DALAM TALIAN 

09/07/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Sebagai langkah menangani peningkatan kes penipuan kewangan dalam talian yang membimbangkan dalam negara, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-undang itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman Parlimen, rang undang-undang ini bertujuan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574), antara lainnya untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan yang berhubungan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

Rang undang-undang itu antara lain memperuntukkan kesalahan dan penalti bagi pemilikan atau kawalan terhadap mana-mana instrumen pembayaran orang lain atau mana-mana akaun orang lain di institusi kewangan tanpa kuasa yang sah atau maksud yang sah.

“Subseksyen baharu 424C(2) yang dicadangkan bertujuan mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi seseorang yang terlibat dalam mana-mana transaksi, menggunakan mana-mana instrumen pembayaran atau akaun orang lain di institusi kewangan tanpa kuasa atau maksud yang sah,” menurut naskhah itu. 

Azalina turut membentangkan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama antaranya bertujuan memberi pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Sarjan, kuasa menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang dipegang atau disyaki dipegang dalam mana-mana instrument pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan