AM

PAC BERI TEMPOH TIGA BULAN KEPADA HRD CORP KEMUKA LAPORAN TINDAKAN SUSULAN

16/07/2024 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh tiga bulan kepada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) untuk mengemukakan laporan tindakan susulan terhadap syor jawatankuasa itu.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata tempoh itu diberikan susulan laporan audit berkaitan, baru dibentangkan pada minggu lepas.

“Sebab kita baru bentangkan pada minggu lepas, jadi kita kena tunggu selama tiga bulan dan kita akan panggil mereka untuk membuat laporan tindakan susulan terhadap syor yang telah dikemukakan oleh pihak PAC,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, PAC mendedahkan bahawa HRD Corp telah menggunakan sejumlah RM3.77 bilion levi yang dikutip daripada majikan untuk program pembangunan latihan bagi membuat beberapa pelaburan berbeza.

PAC mendapati levi yang dikutip oleh perbadanan itu menunjukkan peningkatan ketara daripada RM475 juta pada 2020 kepada RM2.134 bilion pada 2023.

Berkenaan Laporan Tindakan Susulan bagi syor laporan PAC berhubung pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah, Mas Ermieyati berkata PAC berpandangan masih terdapat banyak ruang penambahbaikan bagi mencapai inisiatif sifar bangunan sekolah daif.

“Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kerja Raya perlu lebih proaktif mempercepat tindakan berhubung projek pembangunan atau kerja-kerja ubah suai, naik taraf bangunan daif di samping mempergiat proses verifikasi bagi data yang telah dikunci masuk dalam EMIS (Sistem Pengurusan Sekolah).

“PAC turut mencadangkan kepada KPM untuk melihat kepada kerja-kerja pencegahan bagi menangani isu bangunan daif di sekolah, mengambil kira kewangan dan peruntukan sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan