AM

ISU, INISIATIF DAN HALA TUJU ANTARA INTI PATI KONGRES KOPERASI KEBANGSAAN 2024

09/07/2024 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 25 Julai ini antara lain akan membincangkan isu, inisiatif dan hala tuju baharu bagi memperkasakan peranan gerakan koperasi. 

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata penganjuran kongres itu adalah untuk kali ketiga selepas kali terakhir berlangsung 53 tahun lepas iaitu pada Mac 1971, manakala penganjuran kali pertama pada 1966. 

"Pelbagai perubahan dalam landskap ekonomi negara dan global telah berlaku sejak kali terakhir kongres ini berlangsung. Ini memerlukan pembaharuan dilakukan supaya gerakan koperasi terus relevan dan mampu berdaya saing, selain melihat semula kesesuaian peraturan dan akta yang diguna pakai masa ini supaya selari dengan perubahan. 

"Kongres ini juga akan membincangkan peranan gerakan koperasi bagi membantu kerajaan mendepani cabaran semasa seperti menangani kos sara hidup dan merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi platform koperasi," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Abdul Fattah juga melihat penganjuran kongres itu sebagai platform untuk menyelaras semula pelan strategik koperasi untuk membantu lebih 15,000 koperasi yang mempunyai 7.2 juta keanggotaan. 

Beliau berkata empat fokus utama kongres itu ialah jati diri dan identiti koperasi; akta, peraturan dan tatakelola koperasi; pendidikan dan modal insan koperasi serta daya saing perniagaan koperasi. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis penutup kongres yang bertemakan 'Koperasi Pemangkin Ekonomi MADANI' itu dengan lebih 7,000 orang dijangka menghadiri kongres tersebut secara fizikal dan dalam talian. 

Penganjuran kongres di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini disokong Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selain mendapat kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa). 

Selain itu, Abdul Fattah memaklumkan gerakan koperasi secara keseluruhannya telah berjaya melangkau sasaran perolehan oleh kerajaan sebanyak RM60 bilion menjelang 2025 apabila RM64.6 bilion telah disumbangkan tahun lepas.

Beliau bagaimanapun berharap koperasi dapat bergerak lebih maju, sekali gus meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memandangkan sumbangan koperasi negara kepada KDNK agak ketinggalan berbanding negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.   

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan