AM

INSTITUSI ZAKAT HARUS DIURUS DENGAN TELUS - SHEIKH ALI MUHYIDDIN

09/07/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Sheikh Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi mengingatkan bahawa sesebuah institusi zakat harus diurus secara telus bagi menyelesaikan masalah kemiskinan umat Islam di sesebuah negara.

Sheikh Ali Muhyiddin berkata kutipan zakat di seluruh dunia dianggarkan mencecah sehingga USD4 billion setahun dan jumlah itu sepatutnya boleh menghapuskan masalah kemiskinan dalam masa sekurang-kurangnya 10 tahun.

"Namun apakah punca dengan dana yang sebegitu besar kita masih tidak dapat selesaikan isu kemiskinan? Saya boleh memberi dua kesimpulan iaitu kutipan dan agihan zakat dilaksanakan secara tidak sahih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan ke Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini hari ini sempena lawatan rasminya selama lapan hari ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat mengenai pengoperasian MAIWP sebelum berkongsi maklumat tentang projek Kafi, satu inisiatif yang sedang dilaksanakan di beberapa negara Afrika, untuk mengumpulkan dana zakat beberapa organisasi bagi membolehkannya digunakan secara efektif bagi menolong umat Islam yang memerlukan.

Projek itu, katanya merangkumi mekanisme untuk membantu asnaf yang memerlukan pertolongan dalam memajukan hidup serta menyediakan dana seakan-akan takaful bertujuan melindungi mereka yang berhutang.

Sheikh Ali Muhyiddin turut menyatakan kesediaan berkongsi pengalaman mengendalikan projek itu dengan MAIWP bagi membantu menyempurnakan idea pemerkasaan ekonomi di Malaysia.

"Melalui projek Kafi, kita bekerjasama dengan institusi zakat dan institusi-institusi lain untuk melengkapkan kepakaran, mendapat manfaat dan insya-Allah mereka akan mendapat manfaat daripada kita," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dalam ucapannya berkata kunjungan Sheikh Ali Muhyiddin memberi suntikan semangat kepada pihaknya untuk mengukuhkan usaha mempromosi pendidikan Islam, kebajikan sosial dan pembangunan masyarakat di Wilayah Persekutuan serta Malaysia secara amnya.

Beliau berkata pihaknya sangat menghargai pandangan, pesanan dan panduan bijaksana diberikan Sheikh Ali Muhyiddin yang merupakan pakar dalam bidang ekonomi dan perbankan Islam berkenaan urusan kutipan dan agihan zakat serta wakaf di Wilayah Persekutuan.

Dalam lawatan itu, Sheikh Ali Muhyiddin turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pusat Pungutan Zakat MAIWP bagi bekerjasama dalam menterjemah, mencetak dan menerbit bahan-bahan penulisannya berkaitan zakat dan wakaf ke dalam Bahasa Melayu.

Ia bertujuan memperbanyak khazanah ilmu sehingga mampu melahirkan tenaga mahir di kalangan rakyat negara ini khususnya dalam bidang zakat dan wakaf.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan