EKONOMI

KUCINGKO DIUNJUR CATAT KENAIKAN UNTUNG BERSIH TERAS 13.3 PERATUS BAGI TAHUN KEWANGAN 2024

09/07/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kucingko Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE diunjurkan merekodkan peningkatan keuntungan bersih teras secara beransur-ansur sebanyak 13.3 peratus tahun ke tahun kepada RM9.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 walaupun perbelanjaan bagi tenaga kerjanya dijangka lebih tinggi.

Menurut Apex Securities Bhd unjuran itu mengambil kira projek yang belum dibilkan bernilai RM23.3 juta dan pengiktirafan nilai perolehan kontrak dalam tangan tambahan.

Firma pembrokeran itu menjelaskan keuntungan bersih teras Kucingko telah menunjukkan prestasi kukuh, mencecah RM8.4 juta pada tahun kewangan 2023 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul selama tiga tahun sebanyak 31.5 peratus, terutama didorong oleh peningkatan perolehan daripada segmen perkhidmatan produksi animasi dua dimensi (2D).

“Kami menjangkakan Kucingko mencatatkan kadar pertumbuhan perlahan dari segi keuntungan bersih teras tahun ini, terutamanya disebabkan oleh peningkatan tenaga kerja. Syarikat itu kini menghadapi kekurangan tenaga kerja berikutan pelbagai projek yang sedang dilaksanakan.

“Kami menjangkakan sebahagian besar perbelanjaan disalurkan kepada kos pengembangan dan kakitangan, mendorong kuantum peningkatan keuntungan bersih yang lebih tinggi mulai tahun kewangan 2026 dan seterusnya,” jelasnya.

Apex Securities menambah pihaknya memilih Kucingko susulan kedudukan kukuh syarikat itu dalam pasaran asing, mengiktiraf kira-kira 74 peratus daripada perolehan di rantau Amerika Utara setakat tahun kewangan 2023.

Pengembangan dalam pengedaran kandungan digital dijangka memacu lagi permintaan terhadap perkhidmatan animasi 2D syarikat itu.

“Selain itu, kami memilih syarikat ini kerana pulangan daripada ekuiti yang konsisten sebanyak dua digit sepanjang beberapa tahun ini, lembaran imbangan yang teguh serta kedudukan tunai yang baik,” menurutnya.

Firma itu turut menambah Kucingko mengguna pakai dasar dividen rasmi, dengan pembayaran dividen tidak kurang daripada 40 peratus daripada keuntungan bersih, dan menjangkakan hasil dividen syarikat bertamhah baik pada 2.5 peratus dan 2.6 peratus masing-masing bagi tahun kewangan 2024 dan 2025.

Kucingko dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Julai, 2024.

Apex Securities telah menetapkan nilai saksama sebanyak 54 sen bagi syarikat itu, potensi peningkatan 80 peratus daripada harga tawaran awam awal (IPO) sebanyak 30 sen, dengan menetapkan harga sasaran kepada pendapatan 15.8x dan 15.5x masing-masing bagi tahun kewangan 2024 dan 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan