AM

DUN SABAH LULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN LEBIH RM1 BILION

09/07/2024 09:33 PM

KOTA KINABALU, 9 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2024 berjumlah lebih RM1 bilion hari ini.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun itu penting bagi melancarkan operasi pentadbiran negeri sehingga akhir tahun ini.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara terbanyak selepas dibahaskan oleh 17 ahli DUN.

Masidi berkata peruntukan tambahan itu terbahagi kepada enam kategori perbelanjaan termasuk Caruman Kumpulan Wang Pembangunan dan Amanah RM295 juta, perbelanjaan operasi RM288 juta dan perbelanjaan pentadbiran RM173 juta.

"Selain itu perbelanjaan di bawah Peruntukan Khas sebanyak RM101 juta manakala perbelanjaan pelaburan sebanyak RM80 juta dan kategori perbelanjaan terakhir iaitu RM64 juta untuk tujuan pemberian geran," katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu.

Beliau berkata Kementerian Kewangan diperuntukkan sebanyak RM529 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM295 juta adalah sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit  akaun pembangunan yang tidak melibatkan perbelanjaan sebenar dan caruman kepada Kumpulan Wang Amanah.

Selain itu, sebanyak RM124 juta untuk membiayai pelaksanaan projek infrastruktur dan utiliti, pertahanan tebing sungai, pembinaan dan pembaikan kemudahan awam serta perbelanjaan operasi dan pentadbiran.

Masidi berkata Kementerian Kerja Raya mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM204.9 juta untuk membiayai perbelanjaan pembaikan dan penyelengaraan bangunan kerajaan, loji, tangki pemendapan, kontrak konsesi dan selebihnya untuk menampung perbelanjaan pentadbiran serta operasi.

"Sebanyak RM109.9 juta juga diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri bagi membiayai tajaan biasiswa, bantuan khas sekali bayar tiket penerbangan pelajar pusat pengajian tinggi di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, penyelenggaraan masjid, surau, rumah anak yatim dan tanah perkuburan.

“Peruntukan tambahan bagi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan adalah sebanyak RM55.9 juta, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan RM32.1 juta, Kementerian Belia dan Sukan RM31.9 juta dan kementerian dan jabatan negeri yang lain sebanyak RM39.9 juta,” katanya.

Masidi berkata perbelanjaan pembangunan juga memerlukan peruntukan tambahan lebih RM230 juta di bawah 11 buah kementerian tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM221.93 juta diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Negeri dan RM5.51 juta untuk pembiayaan bayaran balik Persekutuan manakala baki sebanyak RM3.45 juta adalah pembiayaan di bawah pinjaman Persekutuan.

"Agihan terbesar di bawah anggaran tambahan pembangunan sebanyak RM100.36 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membiayai projek pembangunan kecil, peruntukan khas ADUN dan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET)," katanya.

Peruntukan tambahan sebanyak RM70.46 juta kepada Jabatan Ketua Menteri, RM3.45 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, Kementerian Kerja Raya Sabah RM19.6 juta, RM10.89 juta disyorkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan manakala Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan diperuntukkan sebanyak RM9.97 juta.

Kementerian Belia dan Sukan Sabah menerima RM7.15 juta untuk pembinaan kompleks sukan dan penyelenggaraan kompleks-kompleks sukan Sabah, RM5.16 juta pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

"Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat diperuntukkan sebanyak RM4.02 juta dan RM2.89 juta diperuntukkan tambahan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi membiayai projek-projek seliaan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan