AM

PERPADUAN, KEBAJIKAN RAKYAT FOKUS UTAMA SULTAN IBRAHIM MEMAYUNGI JOHOR - PENGERUSI YSF

10/07/2024 10:12 AM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- Perpaduan dan kebajikan rakyat menjadi fokus utama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam memayungi rakyat dan negeri Johor, kata Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) Mejar Cina Datuk David Wong Khong Soon.

Beliau berkata Seri Paduka Baginda amat mementingkan konsep perpaduan yang melangkaui warna kulit dan menghormati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

"Sultan Ibrahim akan mendengar keperluan rakyat secara peribadi dan memikirkan cara terbaik untuk membantu mereka, selain sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di tempat tertinggi.

"Sebagai contoh, semasa bencana berlaku Seri Paduka Baginda sanggup meredah banjir untuk meninjau keadaan dan memeriksa kesejahteraan rakyat, selain turut menghulurkan bakul makanan, sumbangan peribadi dan menitahkan agar kami membaiki atau membina semula rumah yang rosak akibat bencana alam," katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini baru-baru ini, Wong berkata lima Yayasan Diraja Johor ditubuhkan bagi memenuhi keperluan dan demografi berbeza iaitu Yayasan Sultan Ibrahim, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Yayasan Sultanah Fatimah, Yayasan Sultanah Rogayah dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

"Baginda telah menyumbangkan lebih RM100 juta kepada yayasan-yayasan ini untuk membantu rakyat yang terdiri daripada masyarakat majmuk," kata Wong yang dilantik menjadi Pengerusi YSF pada 2023.

Menceritakan keperibadian Sultan Ibrahim, Wong yang juga rakan selam skuba Seri Paduka Baginda sejak 20 tahun lepas, menyifatkan Yang di-Pertuan Agong memiliki daya ingatan yang kuat dan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang terutama perniagaan.

Sultan Ibrahim katanya, membawa banyak pembangunan kepada negeri Johor melalui pelaburan asing, selain menjalin dan mengekalkan hubungan erat dengan pemimpin negara lain.

"Tuanku amat bijak dan memiliki ingatan seperti sebuah komputer. Seri Paduka Baginda mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai aspek seperti hal berkaitan kereta, bot, kapal terbang, pertanian, sukan, masakan dan perniagaan.

"Secara keseluruhan, di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Sultan Johor, ekonomi negeri telah meningkat dan kehidupan serta kesejahteraan rakyat juga bertambah baik, dengan kecemerlangan Seri Paduka Baginda di Johor, pasti Malaysia juga dapat berkembang di bawah pimpinan Sultan Ibrahim," katanya.

Sepanjang 40 tahun perkenalan dengan Sultan Ibrahim, Wong berkata antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah sewaktu Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat ke rumahnya secara mengejut.

"Memang tidak dijangka, Sultan Ibrahim yang ketika itu Tunku Mahkota Johor berangkat semata-mata ingin menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina secara peribadi kepada keluarga saya," katanya.

Menceritakan detik awal perkenalan dengan Sultan Ibrahim, Wong berkata beliau bertemu dengan Seri Paduka Baginda pada awal 1980-an dan menjadi rapat kerana berkongsi hobi menyelam, selain turut melakukan aktiviti berkhemah, memancing, bermain jet ski dan pelbagai sukan laut bersama-sama.

“Ketika itu saya berusia lingkungan 30 tahun … kemudian, paling tidak dilupakan semasa kami berkhemah di Tanjung Kelisa, Tanjung Balau pada 1990-an, saya dan Tuanku memasak beef fondue, rusuk daging yang ditabur dengan garam pasir dan dibakar dengan kayu bakau.

“(Ada kalanya) selepas menyelam, saya dan Tuanku memasak resipi kami sendiri seperti ikan goreng Black Power, bubur ikan, ikan stim Teochew dan stik daging gaya Cina. Kami akan duduk dan makan bersama-sama seperti dilakukan rakan biasa tanpa mengambil kira status diraja Seri Paduka Baginda dan sehingga kini, hubungan kami masih rapat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai YSF, Wong berkata yayasan itu ditubuhkan pada 2016 hasil ilham Sultan Ibrahim untuk membantu dan memperkasakan golongan kurang berkemampuan daripada kalangan masyarakat Cina di negeri ini, meskipun begitu, yayasan berkenaan turut menghulurkan bantuan kepada semua bangsa di Johor.

Berhubung gelaran “Mejar Cina”, beliau berkata Seri Paduka Baginda berkenan supaya gelaran itu yang pernah dikurniakan Sultan Abu Bakar, dihidupkan semula sebagai kesinambungan sejarah Johor moden, dan merupakan pengiktirafan terhadap pembabitan kaum berkenaan yang signifikan dalam pembangunan dan perkembangan negeri ini.

“(Mejar Cina) merupakan pengantara masyarakat Cina dengan Istana Johor untuk menyalurkan apa jua titah raja kepada rakyat khasnya berbangsa Cina, sekali gus membantu menyampaikan keperluan rakyat dan maklum balas mereka kepada Tuanku,” katanya.

Wong yang dilantik sebagai Mejar Cina pada September 2020 mendoakan agar tuhan merahmati Sultan Ibrahim dengan kesihatan yang baik dan umur yang panjang serta pemerintahan Seri Paduka Baginda dapat memakmurkan Malaysia sebagaimana negeri Johor. Daulat Tuanku!

Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai dan bersempena dengan istiadat itu, BERNAMA TV akan menyiarkan dokumentari “Di Sebalik Mahkota” pada 19 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan