AM

JOE FLIZZOW IMPI DUET BERSAMA DATUK ROSSA PADA KONSERT DIVAS & DIAMONDS

10/07/2024 04:09 PM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Penyanyi rap terkenal juga penerbit muzik Joe Flizzow tidak akan melepaskan peluang untuk kembali berduet dengan penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa pada Konsert Divas & Diamonds.

Konsert itu bakal diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor pada 7 September depan.

Menurut Joe yang nama sebenarnya Johan Ishak, dia dan Rossa mempunyai dua lagu duet berjudul ‘Katakan’ dan ‘One Night Lover’ dan kali terakhir mereka berduet kira-kira sembilan tahun lepas di Konsert Pesona Cinta Rossa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada tahun 2015.

“Kedua-dua lagu duet pula adalah ciptaan saya dan saya bertuah dapat berkolaborasi dengan Rossa kerana untuk melihat artis Indonesia yang menyanyikan lagu ciptaan dari luar terutama Malaysia agak susah.

“Jadi, untuk konsert kali ini, saya rancang untuk berduet dengan Rossa dan akan berbincang lanjut mengenai perkara ini. Walaupun sudah lama tidak melakukan persembahan bersama, tapi kami tetap berhubung,” kata Joe pada sidang media di sini, semalam.

Joe diumumkan pihak penganjur Mega Eve Sdn Bhd sebagai penyanyi keempat yang akan tampil membuat persembahan pada Konsert Divas & Diamonds selepas Rossa dan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah serta Dayang Nurfaizah. 

Pada konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu, Joe dan Rossa masing-masing akan diiringi oleh band mereka sendiri manakala Jamal dan Dayang pula akan diiringi oleh komposer terulung, Genervie Kam.

Mengenai penampilannya pada konsert tersebut, Joe berkata, ia adalah satu penghormatan baginya berada sebaris dengan penyanyi ternama lain dan berharap dapat ‘memberikan’ persembahan yang terbaik kepada peminat.

“Pada saya, peluang ini juga menggambarkan muzik genre hip-hop dalam negara dilihat semakin diterima baik dan berada pada tahap yang matang berbanding dahulu selepas melalui pelbagai cabaran. Jadi, saya akan cuba persembahkan level of music yang mungkin orang sebelum ini tak berapa biasa lihat,” katanya.

Sementara itu, pengarah projek konsert tersebut Aman Ali berkata, pemilihan barisan artis  berdasarkan mereka yang mempunyai bakat yang luar biasa, sangat dihormati dan telah menerima pelbagai anugerah dalam industri muzik.

“Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu kegemaran sepanjang masa hingga single hit terkini, oleh kesemua barisan artis nanti. Kami yakin persembahan ‘live’ itu akan menjanjikan pengalaman yang menakjubkan dengan pentas, lampu dan bunyi yang inovatif,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket Konsert Divas & Diamonds 2024 di Ticket2u, www.ticket2u.com.my dan lima peratus daripada hasil jualan tiket berkenaan akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan