EKONOMI

INFORMA MARKETS THAILAND JANGKA RAIH RM212 JUTA NILAI DAGANGAN PADA PAMERAN MEDLAB ASIA & ASIA HEALTH 2024

10/07/2024 04:20 PM

BANGKOK, 10 Julai (Bernama) -- Informa Markets Thailand menjangkakan mampu menjana nilai dagangan sebanyak 1.64 bilion Baht (RM212 juta) daripada pameran dan persidangan perdagangan makmal dan peranti perubatan terbesar di Asia Tenggara, Medlab Asia and Asia Health 2024.

Diadakan dari 10-12 Julai, Medlab Asia and Asia Health 2024 dianjurkan oleh Informa Markets Thailand, bersempena Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa.

Pengarah kumpulan portfolio serantau ASEAN Informa Markets Thailand Rungphech Chitanuwat berkata acara itu menyediakan peluang kepada usahawan, golongan profesional dalam industri dan kakitangan perubatan untuk membina rangkaian, menjalin hubungan perniagaan serta berkongsi pengetahuan berkaitan kemajuan perubatan terkini.

“Kami menjangkakan acara itu menarik 10,000 hadirin dari 50 negara di seluruh dunia, 350 syarikat global terkemuka untuk mewujudkan rangkaian dan menggalakkan pertumbuhan dalam makmal perubatan dan industri peranti perubatan di rantau ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rungphech berkata perniagaan berkaitan makmal perubatan dan penjagaan kesihatan di Thailand meningkat dengan ketara berbanding tahun lepas, berikutan peningkatan permintaan peranti perubatan yang selari dengan pengembangan hospital serta kemudahan perubatan, penambahan populasi warga tua dan kesedaran orang ramai terhadap kesihatan.

"Ini adalah faktor utama yang mendorong pertumbuhan dalam perniagaan peranti perubatan Thailand," katanya.

Terdahulu, Naib Menteri Kesihatan Awam Thailand Thanakrit Jitareerat merasmikan acara itu yang turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Sebanyak 10 syarikat Malaysia menyertai acara itu, dengan mempamerkan pelbagai produk, termasuk pembuatan bilik bersih, sistem pengudaraan, penderia pintar untuk pencatat data, tiub, peranti terapi elektrik, tiub boleh lipat, tourniquet pakai buang dan kit ujian pantas diagnostik in-vitro (IVD).

Reezal Merican dijadual melancarkan Forum Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia, anjuran bersama MATRADE dan Informa Markets, yang bertujuan memberikan gambaran keseluruhan menyeluruh tentang dinamik industri penjagaan kesihatan Malaysia.

Informa Markets ialah peneraju global yang mencipta platform untuk industri dan pasaran pakar untuk berniaga, berinovasi dan berkembang melalui pameran perdagangan tertumpu industri dan acara perniagaan-ke-perniagaan (B2B) merentas pelbagai sektor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan