EKONOMI

PERTUMBUHAN SEKTOR PERANTI PERUBATAN MALAYSIA DIJANGKA TERUS BERKEMBANG - MATRADE

10/07/2024 09:51 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 10 Julai (Bernama) -- Pasaran peranti perubatan Malaysia dijangka berkembang pada kadar tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.5 peratus menjelang 2028, mencecah nilai pasaran US$4.5 bilion (US$1=RM4.69), kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia ( MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata kerajaan giat mempromosikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau dan komited untuk membangunkan industri penjagaan kesihatan, iaitu penyumbang utama sektor pembuatan, selaras dengan visinya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh inovasi, kreativiti dan aktiviti bernilai tinggi.

"Untuk memastikan pertumbuhan berterusan dan daya saing industri penjagaan kesihatan Malaysia, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) telah mengenal pasti sektor peranti perubatan dan farmaseutikal sebagai keutamaan.

"NIMP menumpukan pada memajukan keupayaan Malaysia dalam reka bentuk dan pembangunan produk serta perkhidmatan bersepadu, bertujuan untuk mencipta lebih nilai dan meningkatkan daya saing," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Rangkaian Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2024 (IHW) di sini, Rabu.

Reezal Merican berkata pelan tindakan perindustrian menyediakan hala tuju strategik untuk negara membina sektor penjagaan kesihatan yang lebih kukuh dan membentuk masa depan yang membolehkan Malaysia berdiri teguh di arena global.

"Bagi mencapai visi ini, Malaysia memanfaatkan perjanjian perdagangan (bebas) (FTA) untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri penjagaan kesihatan. FTA ini membantu menyelaraskan perdagangan dan pelaburan, menyepadukan Malaysia lebih mendalam ke dalam rantaian bekalan global dan memacu pertumbuhan ekonomi merentas semua sektor, termasuk penjagaan kesihatan," katanya.

Untuk mengukuhkan industri peranti perubatan di peringkat global, beliau berkata MATRADE menyokong pembentukan persatuan pengeluar peranti perubatan pertama di Malaysia, Persatuan Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM) pada November 2018.

Beliau berkata objektifnya adalah untuk melengkapkan ekosistem pembuatan peranti perubatan di Malaysia dan sebagai platform kepada pemain industri tempatan memperjuangkan pertumbuhan industri melalui kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

Sementara itu, Reezal Merican turut memaklumkan bahawa Malaysia akan menganjurkan Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025 di Kuala Lumpur pada 16-18 Julai di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

"Kami sangat menantikan kunjungan anda ke negara kami yang indah, dan merasai layanan kami yang terkenal serta menyaksikan kemajuan kami dalam sektor penjagaan kesihatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan