EKONOMI

JUWAI IQI JANGKA BNM KEKALKAN OPR, ELAK KEJUTKAN PASARAN

11/07/2024 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kumpulan teknologi hartanah global, Juwai IQI menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus semasa mesyuarat dasar monetarinya hari ini untuk ‘mengelak daripada mengejutkan pasaran’.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata kadar faedah yang stabil adalah petanda baik untuk ekonom justeru, keadaan ini mencadangkan bahawa ekonomi cukup teguh tidak memerlukan rangsangan kadar yang lebih rendah.

“Kami menjangkakan OPR kekal tidak berubah bulan ini, sepanjang tahun ini dan sehingga 2025,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pada masa sama, inflasi juga (Indeks Harga Pengguna pada dua peratus pada Mei) cukup rendah untuk tidak memerlukan kenaikan kadar.

Mengenai ringgit yang didagangkan pada kira-kira RM4.7 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), Kashif berkata walaupun dilihat di bawah nilai berbanding dolar AS namun, ekonomi dan kedudukan kewangan Malaysia yang kukuh akan mampu menjamin ringgit yang lebih kukuh.

Melangkah ke hadapan, Juwai IQI mengunjurkan kadar faedah yang stabil, ekonomi semakin berkembang dan bilangan transaksi hartanah yang kukuh bagi baki tempoh 2024.

“Kami menjangkakan pertumbuhan harga rumah yang sederhana berterusan untuk baki tempoh 2024, yang mungkin pada sekitar tiga peratus, sama seperti pertumbuhan harga rumah yang kita catat pada 2023.

“Pertumbuhan itu disokong oleh unjuran kami iaitu kadar kekal stabil dan ekonomi terus berkembang susulan permintaan pengguna antarabangsa dan domestik yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan