KUCHING, 11 Julai (Bernama) -- Keputusan pemohonan Sarawak untuk menyenaraikan Gua Niah di Miri, kira-kira 500 kilometer dari sini sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), bakal diketahui hujung bulan ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis Gua Niah mampu mendapat pengiktirafan UNESCO memandangkan gua itu pernah didiami oleh manusia kira-kira 65,000 tahun dahulu.
“Sarawak sudah sampai ke penghujung perjalanan untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi Gua Niah. Badan di bawah UNESCO akan membuat pengumuman mengenainya akhir bulan ini di New Delhi.
“Wakil-wakil kita akan hadir di sana, dan daripada maklum balas yang diterima insya-allah menunjukkan kita akan mendapat pengiktirafan itu,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sekiranya Sarawak berjaya memperolehinya, Gua Niah akan menjadi satu lagi produk pelancongan yang akan membawa manfaat besar kepada sektor pelancongan bagi memperkukuhkan lagi warisan budaya dan sejarah Malaysia di mata dunia.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata demikian pada sesi temu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
“Gua Niah mempunyai nilai sentimental yang tinggi selain mudah dihubungi melalui jalan darat dari bandar Miri, hanya mengambil masa lebih kurang satu setengah jam dan sedikit perjalanan kaki.
“Ini memberi peluang kepada rakyat tempatan, termasuk dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak sendiri untuk melihat khazanah dunia,” katanya.
Jelas Abdul Karim sebelum ini, rekod menunjukkan manusia pernah tinggal di Gua Niah 40,000 tahun lepas namun dengan teknologi serta kajian terbaharu yang dibuat Muzium Sarawak dan University of New South Wales, Australia, ia menunjukkan manusia telah mendiami Gua Niah jauh lebih lama.
Bahagian Miri akan menjadi salah satu lokasi penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial