AM

PARLIMEN: MURID BUMIPUTRA DI SJKC MENINGKAT HAMPIR SEKALI GANDA DALAM TEMPOH 10 TAHUN - KPM

11/07/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menyaksikan peningkatan kemasukan murid Bumiputera hampir sekali ganda dalam tempoh 10 tahun daripada 11.67 peratus pada 2014, kepada 18.52 peratus tahun ini, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam jawapan bertulis di laman Parlimen, menyatakan kemasukan murid bukan Bumiputera di SJKC pula menunjukkan penurunan bagi tempoh sama daripada 88.33 peratus kepada 81.48 peratus.

Trend sama direkodkan bagi kemasukan murid bukan Bumiputera di Sekolah Kebangsaan (SK) yang menurun daripada 6.19 peratus pada 2014 kepada 4.88 peratus pada 2024, manakala kemasukan murid Bumiputera ke sekolah berkenaan untuk tempoh sama meningkat daripada 93.81 peratus kepada 95.12 peratus.

“Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), terdapat peningkatan enrolmen murid Bumiputera daripada 0.38 peratus pada 2014 kepada 0.49 peratus tahun ini, dan kadar murid bukan Bumiputera di SJKT adalah sekitar 99 peratus untuk tempoh sama,” menurut KPM.

Selain itu KPM memaklumkan sehingga 31 Mei tahun ini, jumlah murid di sekolah antarabangsa adalah seramai 88,951 orang dengan 29,225 atau 32.9 peratus daripadanya bukan warganegara, manakala 59,726 (67.1 peratus) adalah warganegara, merangkumi 19.9 peratus Bumiputera dan 80.1 peratus bukan Bumiputera.

KPM berkata kemasukan murid warganegara ke sekolah antarabangsa turut merekodkan peningkatan 34 peratus dari tahun 2019 ke 2024, dan dalam tempoh itu enrolmen murid Bumiputera turut meningkat 49.4 peratus dan murid bukan Bumiputera meningkat 30.6 peratus. 

Kenyataan itu dikemukakan bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang ingin tahu statistik bilangan dan peratusan pelajar di sekolah-sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan