AM

BANK BUKU DIWUJUDKAN DI PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI - SARASWATHY

17/07/2024 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Perpaduan Saraswathy Kandasami berkata pewujudan bank buku di setiap perpustakaan awam di negeri terpilih bertujuan mengumpulkan bahan bacaan sumbangan orang ramai untuk diedarkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Beliau berkata bank buku yang dibuka mulai hari ini akan menerima bahan bacaan dalam pelbagai bahasa dan berharap semua pihak menyumbang buku-buku yang masih boleh digunakan serta sesuai untuk bacaan pelajar SJKT.

“Bank buku ini akan dibuka hingga 31 Ogos 2024 di beberapa negeri terpilih seperti Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Johor termasuk Kuala Lumpur untuk memudahkan orang ramai menyerahkan sumbangan di lokasi berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sumbangan buku kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Pelancaran Bank Buku Program ‘Dariku Untukmu’ yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Salasiah Abdul Wahab. 

Program ‘Dariku Untukmu’ anjuran PNM, Kementerian Perpaduan dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia itu hasil inisiatif Persatuan Tamil Iyal Malaysia.

Setiap bahan bacaan itu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan kandungannya bersesuaian untuk pelajar.

Beliau berkata sebagai permulaan bank buku berkenaan sudah menerima 100 naskah buku daripada PNM dan 14 lagi sumbangan Persatuan Tamil Iyal Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan