EKONOMI

PROSES PERALIHAN DWN 5G DI MALAYSIA BERJALAN LANCAR - GOBIND

11/07/2024 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Proses perjanjian langganan saham (SSA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi peralihan kepada model rangkaian dwiborong (DWN) 5G di Malaysia, berjalan lancar walaupun Telekom Malaysia masih belum menyempurnakan perjanjian berkaitan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata keutamaan sekarang adalah supaya proses itu dapat berlaku biarpun tiada sebarang keputusan muktamad dicapai setakat ini.

“Kita biarkan proses ditetapkan itu berjalan dulu. Jika ada (sebarang) perkembangan baharu atau agenda yang diputuskan, barulah kita akan umumkan pada sidang media. Proses itu juga sedang berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada acara Persidangan Perbankan Malaysia (MBC) 2024 yang bertemakan Perbankan Dalam Era GenAI — Membentuk Perbankan, Inovasi Bagi Ekonomi Baharu dan Mempercepat Kemampanan,’ di sini, hari ini.

Gobind diminta mengulas sama ada Telekom Malaysia diberi had masa tertentu untuk menyempurnakan perjanjian langganan sahamnya bersama Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan DNB. 

Telekom Malaysia dilaporkan perlu menyempurnakan perjanjian langganan sahamnya dengan kedua-dua pihak terbabit pada atau sebelum 21 Ogos, 2024.

Sebelum ini, empat pengendali rangkaian mudah alih telah mengumumkan bahawa SSA dengan DNB dan MKD telah dimuktamadkan selepas memenuhi semua terma dalam SSA bersyarat.

Empat pengendali berkenaan iaitu YTL Power International Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd telah menandatangani SSA bersyarat itu pada 1 Dis, 2023, untuk membuka laluan bagi peralihan kepada model DWN 5G.

Mengulas keputusan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia, Gobind juga berharap supaya pemuktamadan keputusan itu dapat dicapai dalam masa terdekat. 

“Ini berkaitan (pihak atau) siapa yang akan mendirikan rangkaian 5G kedua dan pelaksanaannya...(selepas itu) baru kita boleh bincangkan perkara seperti had masa dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan