AM

ANUGERAH GEMILANG EKELAS MAXIS IKTIRAF PENINGKATAN PENCAPAIAN AKADEMIK MENERUSI PEMBELAJARAN DIGITAL

11/07/2024 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Maxis Berhad, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia terus memberi impak positif kepada bidang pendidikan melalui program komuniti utamanya, Maxis eKelas yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Inisiatif pembelajaran digital percuma selepas waktu sekolah ini menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dengan lebih 120,000 pengguna berdaftar dan jumlahnya terus meningkat.

Sebagai sebahagian daripada program itu, Maxis baru-baru ini menganugerahkan geran pelajar Anugerah Gemilang eKelas 2024 kepada pelajar dari sembilan negeri di seluruh Malaysia sebagai mengiktiraf peningkatan kecemerlangan akademik mereka.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Mariam Bevi Batcha berkata melalui eKelas, Maxis berharap dapat menyokong lebih ramai pelajar dalam perjalanan pendidikan mereka, membolehkan mereka meraih kejayaan cemerlang pada masa hadapan.

“Kami berbangga mengiktiraf peserta Maxis eKelas kami untuk pertumbuhan akademik dan peribadi mereka. Kerja keras dan dedikasi mereka menjadi inspirasi kepada kami ketika kami meneruskan misi kami untuk memperkasakan pelajar melalui pembelajaran digital,” katanya dalam kenyataan.

Dilancarkan pada 2017, program pemberian Anugerah Gemilang eKelas memberi penghormatan kepada pelajar yang menunjukkan kemajuan yang ketara dalam perjalanan pendidikan mereka.

Selain penambahbaikan akademik, pelajar dinilai berdasarkan penyertaan mereka dalam aktiviti dan pertandingan eKelas, bersama-sama dengan sokongan daripada guru mereka terhadap pertumbuhan dan perkembangan individu.

Pada majlis yang diadakan baru-baru ini bagi penerima 2024, geran itu disampaikan secara bersama oleh Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Pendidikan dan Teknologi di Kementerian Pendidikan Fadzliaton Zainudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng.

Majlis turut dihadiri wakil daripada Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) dan Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan.

Pelajar sekolah rendah menerima geran bernilai RM750 setiap seorang, manakala pelajar sekolah menengah menerima geran RM1,500 setiap seorang. Geran itu dimasukkan terus ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) pelajar, memberikan mereka sokongan kewangan masa depan untuk melanjutkan pelajaran.

Sebagai tambahan kepada geran berkenaan Maxis baru-baru ini menyempurnakan sumbangan 330 komputer riba yang telah diubah suai kepada 77 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Sumbangan ini bertujuan untuk membantu pelajar, terutamanya mereka yang berada di luar bandar, mengakses sumber pembelajaran digital seperti Maxis eKelas.

Maxis eKelas yang terbuka kepada semua pelajar di seluruh negara dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5, menyediakan akses percuma kepada kandungan pendidikan berkualiti selaras dengan sukatan pelajaran sekolah di Malaysia. Bidang tumpuan termasuk Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sejarah dan pembelajaran melalui pengalaman.

Tahun lepas Maxis eKelas secara rasmi menjadi sebahagian daripada portal pembelajaran digital Kementerian Pendidikan DELIMa, seterusnya memperluaskan kebolehcapaiannya untuk semua pelajar dan guru di seluruh negara.

Sementara itu penerima geran Anugerah Gemilang eKelas 2024 Cherrylane Rachell Cornalius, pelajar Tingkatan 4 SMK Tun Fuad Stephens, Sabah berkata, "Saya percaya usaha itu membuahkan hasil; sebagai penerima Anugerah Gemilang eKelas, saya pastinya lebih bermotivasi untuk terus perbaiki diri."

Seorang lagi penerima Chong Pohyi, pelajar SMK Tasek Utara, Johor berkata melalui penyertaan dalam pertandingan eKelas, dia telah belajar mengatasi rasa takut untuk bercakap di hadapan orang ramai.

“Saya sedang menjalani program matrikulasi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, dan geran SSPN sudah tentu membantu perjalanan pendidikan saya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan