EKONOMI

CADANGAN JS-SEZ DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA DALAM KALANGAN PERNIAGAAN SINGAPURA

11/07/2024 09:04 PM

SINGAPURA, 11 Julai (Bernama) -- Wujudnya minat yang luar biasa mengenai cadangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam kalangan perniagaan Singapura, menurut laporan kumpulan kerja Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang dikeluarkan hari ini.

Penemuan utama laporan ‘Greater Together: Two Economies, One EcoSystem’ Kumpulan Kerja Perniagaan Singapura (SBWG) bagi JS SEZ mendedahkan bahawa 93 peratus responden melihat Johor sebagai destinasi pelaburan yang menarik, dengan 50 peratus sudah beroperasi di negeri itu.

Menurut kenyataan SBF, laporan itu berdasarkan penemuan daripada penglibatan SBWG dengan 160 perniagaan Singapura merentasi pelbagai industri dari Mac hingga Jun 2024, yang berusaha mengumpul pandangan, maklum balas dan cadangan untuk meningkatkan pembangunan JS-SEZ.

SBWG mengenal pasti tiga faktor kejayaan utama untuk JS-SEZ, iaitu menggunakan kekuatan ekonomi yang saling melengkapi, komitmen teguh daripada kedua-dua kerajaan Singapura dan Malaysia, dan pentingnya untuk mendepani percubaan dan kepantasan.

Laporan itu juga menekankan cabaran penting yang perlu ditangani untuk memastikan kejayaan JS-SEZ, seperti jurang dalam landskap tenaga kerja di Johor, memudahkan pergerakan rentas sempadan bagi manusia dan barangan, serta landskap kemudahan pelaburan yang berpecah dan kompleks di antara Singapura dan Johor.

Dari segi tenaga kerja, kumpulan itu mengesyorkan pembentukan ekosistem buruh unik yang memanfaatkan kekuatan kedua-dua ekonomi, menggabungkan keupayaan pengurusan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) Singapura dengan kemahiran teknikal Johor untuk pelaksanaan dan operasi yang menyokong pelbagai industri.

Cadangan utama termasuk membangunkan peraturan tenaga kerja yang diselaraskan, melabur dalam tenaga kerja masing-masing untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja dan merapatkan jurang kemahiran, dan mewujudkan program pemerolehan bakat.

“Hampir 60 peratus perniagaan yang terlibat melaporkan kesukaran mendapatkan pekerja teknikal dan mahir di Johor, dengan isu-isu tambahan dalam menarik bakat Singapura untuk bekerja merentasi sempadan,” kata kenyataan itu.

Perniagaan juga mengaitkan masalah tenaga kerja berpunca daripada isu pas pekerjaan (60 peratus), jurang kemahiran dalam tenaga buruh Malaysia (58 peratus), dan gaji yang tidak sepadan (21 peratus).

Bagi meningkatkan pergerakan rentas sempadan, SBWG menyokong proses pelepasan kastam dan sempadan yang diperkemas, termasuk melaksanakan sistem pelepasan kod QR tanpa pasport dan pelepasan kargo secara digital. Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijadualkan pada 2026, juga dilihat sebagai penting dalam menangani cabaran logistik itu.

Penambahbaikan lain yang dicadangkan termasuk membangunkan hab rentas sempadan yang dipertingkatkan dengan pelepasan automatik menggunakan biometrik dan melabur dalam ketersambungan pelbagai mod yang cekap.

“Malah, 36 peratus perniagaan yang terlibat menyatakan harapan untuk ketersambungan yang lebih baik dari segi lorong imigresen khas untuk orang ramai, bagi memudahkan perjalanan yang lebih lancar,” kata laporan itu.

Bagi memudahkan pergerakan barangan yang lebih lancar, SBWG mengesyorkan pelaksanaan prosedur pelepasan kastam dan sempadan yang diperkemas, menyelaraskan dasar cukai dan tarif, membangunkan rangkaian pengangkutan bersepadu dan infrastruktur logistik serta meningkatkan pendigitalan dan pendayaan e-dagang.

Kira-kira 55 peratus perniagaan menyatakan kesukaran dalam mengendalikan isu-isu cukai dan 48 peratus menunjukkan bahawa pelepasan kargo yang lebih sesuai adalah penting untuk membolehkan aliran barangan yang cekap.

Landskap kemudahan pelaburan semasa di antara Singapura dan Johor dikenal pasti sebagai berserabut dan kompleks, dengan perniagaan melaporkan wujudnya halangan dalam mendapatkan permit dan lesen yang diperlukan.

“Sebanyak 58 peratus daripada perniagaan yang terlibat menyatakan hasrat untuk penubuhan agensi penggalakan pelaburan bersama untuk pemasaran di zon itu dan memudahkan penglibatan pelabur, dan 33 peratus menginginkan platform dalam memudahkan kerjasama dan peluang rangkaian antara satu sama lain bagi bantuan dan sokongan,” menurut kepada laporan berkenaan.

Bagi mengatasinya, SBWG mencadangkan memperkemas kelulusan pelaburan dan menawarkan insentif cukai yang menarik, membangunkan rangka kerja perundangan dan kawal selia yang kukuh, menyediakan perkhidmatan pemudah cara perniagaan yang komprehensif dan meningkatkan kebolehoperasian sistem kewangan.

Mengulas laporan itu, Pengerusi SBWG Teo Siong Seng berkata perniagaan sangat maju semasa kaji selidik tersebut, menandakan minat mereka terhadap kejayaan JS-SEZ.

"Ini bukan sekadar projek biasa yang lain. Ia adalah pengubah rentak permainan yang berpotensi untuk Malaysia dan Singapura. Dengan merapatkan ekonomi kita, kita mencipta peluang baharu yang akan memanfaatkan perniagaan di kedua-dua belah tambak," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata JS-SEZ memberi banyak kelebihan kepada Singapura dan Malaysia, tetapi maklum balas daripada industri adalah penting untuk kejayaannya.

"Pada masa lalu, apabila kita melakukan projek, kita cuba melakukannya di sebelah pihak sahaja. Contohnya, apabila kita melaksanakan Iskandar Malaysia, kita hanya cuba mendapatkan pelabur dari Singapura untuk datang ke Malaysia tetapi saya fikir model seperti ini  tidak lagi boleh digunakan untuk masa depan.

"Kita perlu melihat Singapura dan Malaysia, khususnya Johor sebagai satu unit, jadi pelabur yang mencari peluang di rantau ini boleh melihat Malaysia dan Singapura sebagai tempat yang mana mereka boleh melakukan pelaburan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan