AM

ANCAMAN KEGANASAN DI ASIA TENGGARA BERSIFAT SEDERHANA RENDAH - AHMAD ZAHID

11/07/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ancaman keganasan masih wujud di rantau Asia Tenggara namun ia bersifat sederhana rendah.

Ahmad Zahid, yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan hari ini, bagaimanapun berkata Malaysia secara khusus adalah destinasi transit popular Pejuang Pengganas Asing (FTF) bagi melancarkan serangan di kawasan lain. 

"Kebanjiran warga asing dari rantau Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika turut menjadi punca kepada perkembangan aktiviti keganasan di Malaysia," menurutnya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kerajaan turut memantau situasi terkini berkaitan risiko ancaman keganasan oleh kumpulan pengganas seperti Daesh dan Jemaah Islamiyah selain bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran.

Beliau berkata langkah ini bertujuan membendung dan mengenal pasti individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan sama ada warga Malaysia atau warga asing.

Ahmad Zahid juga berkata seramai 565 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dengan 368 daripada mereka adalah warga tempatan.

Beliau berkata antara 2013 hingga 2020, seramai 559 individu telah ditangkap manakala bakinya adalah pasca COVID-19 dan statistik itu jelas menunjukkan penurunan intensiti aktiviti keganasan di Malaysia susulan pandemik berkenaan.

Kerajaan, katanya secara konsisten melaksanakan proses deradikalisasi serta rehabilitasi ke atas individu yang terlibat dengan aktiviti keganasan dan dari segi Indeks Keganasan Global, Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik apabila melonjak daripada kedudukan ke-68 daripada 163 negara pada 2022 kepada tangga ke-75 pada 2023. 

Ahmad Zahid berkata dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia kekal di kedudukan kelima dengan mengambil kira jumlah insiden, kematian, kecederaan, tebusan dan nilai kerosakan. 

"Walaupun keganasan bukanlah isu utama keselamatan negara pada masa ini berdasarkan indeks keselamatan global, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan dan virus ditaksir berpotensi dieksploitasi oleh elemen-elemen keganasan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan," katanya.

Beliau turut menzahirkan komitmen kerajaan untuk tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat untuk mengancam keselamatan negara selain menentang keras sebarang bentuk keganasan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan