EKONOMI

GOLONGAN BELIA PEMACU PENTING BENTUK MASA DEPAN INDUSTRI PEMBUATAN MALAYSIA - FMM

16/07/2024 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pemimpin perniagaan dan usahawan daripada golongan belia merupakan pemacu penting yang akan membentuk masa depan industri pembuatan Malaysia, kata Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

Beliau berkata penyertaan pemilik perniagaan muda akan membantu sektor pembuatan mencapai semula tahap sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara seperti sebelum ini iaitu hampir 30 peratus bertahun-tahun dahulu.

“Hari ini, paras sumbangan kita (sektor pembuatan) kepada KDNK adalah pada kira-kira 23 peratus hingga 24 peratus dan kami berharap dapat meningkatkannya kepada 30 peratus dengan daya pembaharuan anda,” katanya pada persidangan ASEAN Manufacturing Youth Conference 2024 (AMYC 2024), di sini, hari ini.

Beliau berkata pemimpin muda hari ini merupakan pemangkin perubahan penting bagi industri pembuatan pada masa depan, kerana visi mereka akan memastikan daya tahan dan kesediaan sektor itu.

Soh juga berharap generasi baharu dapat menghasilkan idea inovatif untuk menjadikan industri pembuatan Malaysia kembali hebat.

Sementara itu beliau berkata terdapat salah anggap bahawa FMM adalah organisasi hanya untuk syarikat yang lebih besar dan mantap sedangkan hakikatnya perusahaan kecil dan sederhana merangkumi 75 peratus daripada keahlian FMM.

“Kami juga mempunyai ahli perusahaan mikro. Selain itu, kami mempunyai 195 syarikat perniagaan milik golongan muda (sebagai ahli setakat Jun 2024),” katanya sambil menambah ini adalah hasil daripada insentif baharu yang diperkenalkan FMM pada Januari 2023 untuk menarik golongan belia menyertai persatuan tersebut.

Soh turut menggesa pemilik perniagaan muda supaya berani dan bersedia untuk berinovasi dan mencipta nilai melalui kerjasama untuk menyokong pertumbuhan industri domestik dan kemudiannya membuat penyesuaian di tengah-tengah cabaran global.

Sementara itu, pada persidangan yang sama, bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming berkata tumpuan menangani cabaran kemampanan penting untuk mencetuskan minat generasi muda dalam sektor pembuatan.

Malaysia juga boleh membina jenama Asia Tenggara yang lebih kukuh melalui pemasaran strategik menerusi golongan muda kita yang celik media sosial, katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan