AM

PENGAMAL PR BOLEH MANFAAT AI NAMUN KEKALKAN KEPAKARAN MANUSIA - IPRM

12/07/2024 01:01 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pengamal perhubungan awam (PR) boleh mengemudi landskap dinamik serta membentuk masa depan sektor itu dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) namun pada masa sama, mengekalkan inti pati kepakaran manusia.

Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) Jaffri Amin Osman berkata integrasi AI menandakan satu peralihan penting dalam cara strategi dirangka dan dilaksana.

“Imbangan yang perlu dikendalikan dengan bijaksana antara kecekapan dipacu AI dan kreativiti manusia kekal penting. Pelan hala tuju bagi profesional dan pengamal PR termasuk memahami masa yang sesuai untuk menggunakan AI sebagai pelengkap berbanding pengganti bagi kemahiran serta wawasan manusia. Semasa mengemudi transformasi ini, rasa ingin tahu, perlindungan dan ketepatan menjadi prinsip panduan untuk meneroka kesan AI terhadap industri kita.

“Memandangkan teknologi AI terus merevolusi cara organisasi melibatkan diri dengan khalayak mereka, timbul persoalan mengenai potensi implikasinya terhadap amalan PR secara tradisional dan masa depan komunikasi. Meskipun sesetengah pihak menganggap AI sebagai kuasa gangguan yang mampu mengautomasikan tugas dan menggantikan tenaga manusia, pihak lain melihatnya sebagai suatu alat yang berkuasa bagi meningkatkan kecekapan, membuat keputusan berasaskan data serta penglibatan secara peribadi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Jaffri Amin berkata pada 2024, profesional PR boleh menjangkakan satu lagi tahun bagi evolusi dalam industri dan produktiviti yang dipacu AI, penyatuan lanjut dalam kalangan agensi serta pertindihan lebih besar dengan pemasaran digital akan berlaku.

“Agensi kita sudah mula menggunakan AI dan ia sama sekali tidak menghilangkan kreativiti pasukan saya malah menjadikan tugasan mereka lebih mudah serta pantas. Saya harus katakan bahawa hasilnya begitu menakjubkan. AI boleh menganalisis sejumlah besar data – sentimen media sosial, artikel berita, competitor mentions – bagi mengenal pasti trend dan khalayak sasaran dengan begitu tepat,” katanya.

Beliau juga berkata AI sering digembar-gemburkan sebagai teknologi baharu muncul paling poten pada abad ke-21 namun disebabkan ketiadaan definisi yang diterima secara sejagat dan sifat medan yang dinamik, penggunaannya mungkin dipenuhi ketakkonsistenan.

“Trend paling ketara (dan penting) di seluruh dunia ialah penggunaan AI untuk mencipta kandungan. Berdasarkan tinjauan ke atas mereka yang berada dalam industri, 36 peratus percaya AI akan mengatasi sebarang trend PR pada 2024. Ini menandakan lonjakan sebanyak 17 peratus berbanding Laporan Trend PR dan Ramalan bagi 2023 yang menyaksikan 19 peratus responden mendakwa AI dan teknologi bakal muncul sebagai trend kedua terpenting pada tahun itu.

“Justeru itu, sebagai profesional, kita perlu menentukan sejauh mana kita boleh menggunakan alat ini tanpa menghilangkan kehalusan dan keindahan sentuhan manusia serta kepintaran kita. Adalah penting untuk kita sentiasa mengingati bahawa AI tidak mampu menggantikan manusia dari segi empati, kepercayaan, jenaka, pembinaan hubungan, strategi dan pemikiran kritis. Bagaimanapun, adalah suatu pembaziran jika kita tidak menggunakan AI sebagai alat, bukan sebagai pengganti sebaliknya untuk membantu kita,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan