AM

BELANJAWAN 2025 DIBENTANG 18 OKT INI - FAHMI

12/07/2024 04:44 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Belanjawan 2025, yang merupakan belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan, akan dibentang pada 18 Okt ini di Dewan Rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua menteri untuk mengadakan sesi dialog Belanjawan MADANI 2025 bersama kementerian masing-masing dan semua pemegang taruh dalam sektor yang terlibat. 

“Hasrat Perdana Menteri adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada industri serta pemegang taruh mengenai sama ada dasar, insentif, program, pelaksanaan, kekangan dan cabaran.

“Ini akan dibawa semula untuk penelitian di peringkat Kementerian Kewangan agar dapat disesuaikan dengan dokumen atau Belanjawan MADANI 2025 nanti,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Selasa lepas, Anwar pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 berkata Belanjawan MADANI yang bakal dibentang di Parlimen Oktober ini akan terus menumpukan aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi MADANI termasuk bagi membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.

Menteri Kewangan itu juga berkata berdasarkan kepentingan tersebut, kerajaan perlu segera memikirkan kaedah untuk merancakkan lagi usaha meningkatkan siling seperti menstruktur semula ekonomi agar negara dapat mengecapi kekayaan lebih besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan