AM

RUU KASTAM (PINDAAN) 2024 DIBENTANG UNTUK BACAAN KALI PERTAMA DI DEWAN RAKYAT

16/07/2024 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kastam (Pindaan) 2024 yang bertujuan mempromosi Pulau 1, Forest City di Johor Bahru, Johor untuk meningkatkan perkembangan ekonomi dalam kawasan tersebut dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Menurut naskhah biru menerusi laman web Parlimen, RUU itu untuk meminda Akta Kastam 1967 dengan memasukkan peruntukan cukai khas berkenaan dengan kawasan tersebut ke dalam Akta 235.

RUU itu juga bertujuan untuk memperuntukkan bahawa Pulau 1 tidak lagi menjadi sebahagian daripada kawasan utama kastam sama seperti Labuan, Langkawi, Tioman dan Pangkor.

Lim turut membentangkan RUU Eksais (Pindaan) 2024, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2024, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2024 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama.

Pindaan kepada Akta Eksais 1976 [Akta 176] dibuat untuk mengeluarkan Pulau 1 daripada kawasan utama kastam dan mengadakan peruntukan khas berkenaan dengan Pulau 1, selaras dengan pindaan kepada Akta Kastam 1967.

Akta Zon Bebas 1990 [Akta 438], Akta Cukai Jualan 2018 [Akta 806] dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018 [Akta 807] pula dipinda untuk memasukkan Pulau 1 dalam takrif ‘kawasan ditetapkan’.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan