EKONOMI

SAHAM ASTRO SUSUT SELEPAS DIKENAKAN CUKAI TAMBAHAN RM734.88 JUTA

12/07/2024 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Saham Astro Malaysia Holdings Bhd menyusut dua sen kepada 29 sen semasa ditutup pada Jumaat selepas operator televisyen berbayar itu dikenakan bil cukai tambahan sebanyak RM734.88 juta.

Pada 5 petang, sebanyak 42.35 juta saham telah diurus niaga.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menuntut cukai tambahan daripada kumpulan Astro bagi tahun taksiran 2019 sehingga 2023 berjumlah RM734.88 juta, termasuk penalti.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Astro berkata notis taksiran tambahan telah diberikan kepada anak syarikat milik penuh syarikat itu, Astro Shaw Sdn Bhd dan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd pada 9 Julai,  masing-masing berjumlah RM22.01 juta dan RM712.87 juta.

Syarikat kandungan dan hiburan itu berkata, anak syarikatnya mempunyai tempoh 30 hari untuk membuat rayuan dan akan berbuat demikian.

Sekiranya perlu, mereka akan memulakan prosiding undang-undang untuk mencabar asas dan kesahihan notis yang dikemukakan oleh LHDN, katanya.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), dalam situasi kurang baik, liabiliti cukai tambahan ini akan mendorong aset ketara bersih Astro sebanyak 14 sen ke zon negatif kepada -27 sen daripada -13 sen pada April 2024.

“Sekiranya dengan penyelesaian penuh, hutang bersih Astro dan tahap kadar hutang sebanyak RM3.1 bilion pada akhir April 2024 akan menokok kepada RM3.8 bilion. (Ini) sekiranya hutang ditingkatkan untuk membayar cukai tambahan,” katanya dalam nota.

Kenanga IB mengekalkan ramalannya sementara menunggu keputusan rayuan serta memberi saranan “underperform” kepada Astro dengan harga sasaran 25 sen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan