DUNIA

BIDEN ARAH PERKHIDMATAN RAHSIA LINDUNGI ROBERT F. KENNEDY JR. SELEPAS CUBAAN BUNUH TRUMP

16/07/2024 12:48 PM

WASHINGTON, 16 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pentadbiran Biden mengumumkan pada Isnin bahawa calon Presiden Robert F. Kennedy Jr. akan dilindungi oleh Perkhidmatan Rahsia susulan cubaan bunuh bekas Presiden Donald Trump di Pennsylvania, lapor Agensi Anadolu.

"Susulan kejadian hujung minggu ini, presiden telah mengarahkan saya untuk bekerjasama dengan Perkhidmatan Rahsia bagi menyediakan perlindungan kepada Robert Kennedy Jr.," kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas semasa taklimat media di Rumah Putih.

Beliau juga berkata, Perkhidmatan Rahsia telah meningkatkan perlindungan terhadap Trump berdasarkan "sifat ancaman yang semakin berkembang terhadap bekas presiden itu."

"Berdasarkan apa yang sedang berlaku di dunia hari ini, saya percaya adalah penting untuk Robert F. Kennedy Jr. menerima perlindungan Perkhidmatan Rahsia (dengan) segera.

"Memandangkan sejarah Keluarga Kennedy, ini adalah tindakan yang betul untuk dilakukan!" tulis Trump pada platform Truth Social miliknya pada Isnin.

Sebelum ini, bapa saudara Kennedy Jr. iaitu Presiden John F. Kennedy ditembak mati di Dallas, Texas pada November 1963.

Adik presiden terbabit, Robert F. Kennedy turut dibunuh pada Jun 1968 di Los Angeles, pada malam beliau memenangi pemilihan presiden Demokratik California dan Dakota Selatan.

CNN melaporkan bahawa Robert F. Kennedy Jr. bertemu Trump di Milwaukee, Wisconsin pada Isnin dan membincangkan "perpaduan nasional" ketika Konvensyen Nasional Republikan yang berlangsung selama empat hari.

Presiden Joe Biden berkata pada Ahad bahawa beliau mengarahkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memastikan siasatan berhubung insiden di Pennsylvania dilakukan secara menyeluruh dan cepat.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan