AM

BEKAS PENYUNTING BERNAMA MENINGGAL DUNIA

12/07/2024 09:56 PM

KOTA BHARU, 12 Julai (Bernama) -- Bekas penyunting Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sulaiman Jaafar, 65, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di sini pada 3.50 petang tadi. 

Isterinya, Zaharah Shuud, 54, berkata pada Isnin lepas Allahyarham dilanggar motosikal yang ditunggang seorang pelajar ketika sedang berjalan kaki dalam perjalanan pulang menunaikan solat Subuh. 

Beliau berkata akibat kemalangan itu Allahyarham Sulaiman mengalami patah dan retak bahagian tulang belakang serta leher.

“Mengikut apa yang dikatakan doktor, Allahyarham perlu menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang dengan kos kira-kira RM10,000.

“Bagaimanapun, ketika menerima rawatan Allahyarham mengalami serangan jantung secara mengejut dan disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Bernama di Unit Forensik HRPZ II di sini.

Zaharah berkata jenazah suaminya akan disolatkan di Masjid Cherang di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tapang malam ini.

Allahyarham Sulaiman pernah bertugas sebagai wartawan di Bernama sekitar 1979 hingga 1999, kemudian beliau menyertai The New Straits Times sebagai Penulis Khas sebelum menamatkan perkhidmatan dengan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2018.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lapan anak.

Terdahulu, Pegawai Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Noor Iqram Rosli mewakili pihak Ketua Biro Bernama Kelantan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada waris Allahyarham Sulaiman.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan