JENAYAH & MAHKAMAH

BULI SIBER: UNDANG-UNDANG BAHARU DICADANG LETAK TANGGUNGJAWAB KEPADA PEMILIK MEDIA SOSIAL - GOBIND

13/07/2024 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo mencadangkan undang-undang baharu bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaan termasuk kes membabitkan buli siber.

Menurut Gobind ketika mesyuarat Kabinet semalam, beliau bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah membangkitkan isu buli siber terutama kes kematian pempengaruh TikTok, A. Rajeswari atau dikenali sebagai Esha baru-baru ini.

“Saya juga mencadangkan agar undang-undang baharu dipertimbangkan untuk meletakkan tanggungjawab terhadap tuan punya platform untuk memastikan bahawa tiada penyalahgunaan berlaku dan sekiranya ada, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang keadaan sedemikian berterusan.

“Kita perlu menghantar signal jelas bahawa kita serius dalam hal mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini dan semua pihak yang berkaitan mempunyai peranan penting yang perlu dilaksanakan bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata undang-undang sedia ada khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan serta Akta Jenayah Komputer sememangnya wujud dan boleh dikuatkuasakan.

“Kami perlu pastikan platform yang didirikan adalah selamat dari sudut keselamatan siber, perlindungan data peribadi, dan yang penting sekali ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

“Kes-kes buli siber mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera. Kita harus memastikan bahawa undang-undang digubal untuk mengelak daripada berlakunya sebarang penyalahgunaannya dan sekiranya berlaku, tindakan pantas harus diambil,” katanya.

Sehubungan itu, Gobind berkata kementeriannya menyokong usaha Menteri Komunikasi untuk memperkukuh perundangan yang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu pada masa hadapan.

Semalam, Fahmi pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Perdana Menteri menzahirkan rasa kecewa dalam kes buli siber yang membawa kepada kematian seorang pempengaruh TikTok baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan