SUKAN

Aaron-wooi Yik Sedia Main Lebih Perlawanan Di Peringkat Kumpulan Olimpik Paris 2024

14/07/2024 10:32 AM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia bersedia dengan kebarangkalian sekiranya beliau dan pasangannya Soh Wooi Yik terpaksa bermain lebih satu perlawanan di peringkat kumpulan temasya Olimpik Paris 2024.

Bekas juara dunia itu berkata sekiranya undian tidak memihak kepada mereka, beliau dan Wooi Yik tetap akan memberi aksi terbaik dalam misi memburu pingat emas pertama Malaysia di temasya berprestij itu.

“Kalau boleh memang tak nak diundi dalam kumpulan yang ada lima pasangan. Sebab itu akan kacau sikitlah sebab kita kena main empat perlawanan sebelum pergi ke suku akhir.

“Tapi keputusan dah dibuat dan kenyataan dah dikeluarkan oleh BWF dan IOC sudah buat keputusan. Tapi kita sudah buat persediaan untuk pertandingan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Paris hari ini.

Terdahulu, undian bagi acara beregu lelaki tidak dijalankan pada Jumaat lalu apabila BWF memaklumkan bahawa ia akan diadakan pada satu tarikh yang bakal ditentukan kelak susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun, undian untuk acara perseorangan lelaki, wanita, beregu wanita dan campuran diadakan seperti biasa.

Dalam pada itu, jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen berkata beliau enggan terlalu memikirkan isu undian yang melanda anak buahnya ketika ini.

Beliau berkata ketika ini hanya mahu fokus untuk mempersiapkan Aaron-Wooi Yik ke tahap terbaik sebelum turun bertanding di temasya itu.

“Bagi saya keputusan dah dibuat, jadi kena bersedia sekiranya mereka diundi dalam kumpulan yang ada lima pasangan.

“Saya tak kesah sangat mengenai undian, apa yang penting ialah untuk mempertingkatkan mereka ke tahap terbaik,” katanya.

Saingan badminton Olimpik Paris akan berlangsung di Porte de la Chapelle Arena dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan