AM

KARNIVAL USAHAWAN DESA, HARI PENEROKA FELDA DIGABUNGKAN TAHUN DEPAN - AHMAD ZAHID

14/07/2024 11:50 AM

SERDANG, 14 Julai (Bernama) -- Penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Hari Peneroka Felda akan digabungkan tahun depan dengan sasaran kehadiran sebanyak dua juta pengunjung, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sambutan itu akan dikendalikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berpengalaman menganjurkan KUD yang memasuki edisi kesembilan tahun lepas.

“Insya-Allah tahun depan saya berazam dengan KSU (Ketua Setiausaha) KKDW (Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar) yang baharu, Hari Peneroka Felda hendaklah didukung oleh KKDW. 

“Kalau tahun lepas KUD@Putrajaya dikunjungi 1.5 juta pengunjung, ditambah dengan dukungan daripada generasi pertama hingga generasi kelima Felda, insya-Allah kita sasar Hari Peneroka Felda tahun depan kita capai dua juta pengunjung,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF), Anugerah Masjid Contoh (AMC) dan Anugerah Tokoh Imam Felda (ATIF) bersempena dengan Hari Peneroka Felda 2024 di sini hari ini.

Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang julung kali diadakan selama tiga hari bermula 12 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) menyasarkan kehadiran 500,000 warga peneroka Felda, generasi baharu Felda serta orang ramai. Sebelum ini, sambutan Hari Peneroka Felda diadakan sehari.  

KUD yang merupakan acara tahunan di bawah seliaan KKDW pula diadakan bagi mempromosikan produk keluaran usahawan tempatan dan memberi persepsi positif tentang kualiti produk usahawan desa kepada rakyat Malaysia.

Mengenai pemerkasaan pendidikan anak-anak Felda, Ahmad Zahid berkata selain Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah diperkenalkan kerajaan, beliau mahu generasi muda di tanah rancangan itu menguasai ilmu agama sejak dari awal usia.

Untuk tujuan itu, beliau mencadangkan agar tabika di bawah seliaan Felda turut melaksanakan program Pra-Tahfiz seperti di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak. 

“Saya berazam untuk memperluas pendidikan (agama) untuk anak-anak Felda dengan pendedahan awal agar mereka dapat menghafal al-Quran.

“Hal ini untuk memastikan mereka menghayati nilai-nilai Islam sejak kecil,” katanya dan menambah beliau juga mahu Felda melahirkan hufaz profesional.

Pada 9 Nov lepas, Ahmad Zahid berkata KKDW akan melaksanakan Program Tabika Pra-Tahfiz di 10,843 Tabika Kemas bagi memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Tabika Pra-Tahfiz Kemas ialah program untuk memperkasakan pendidikan al-Quran, selain memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Program Penghayatan Islam) di Tabika Kemas.

Ahmad Zahid berkata langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada proses transformasi Felda yang merupakan tekad Kerajaan Perpaduan dan berharap ia mendapat kerjasama penuh daripada agensi berkaitan.

“Transformasi yang kita harapkan bukan sekadar apa yang saya sebutkan. Perkara ini bukan soal sembang, kita betul-betul lakukan serta telah dan sedang lakukan usaha ini dengan serius di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan