AM

HORNET: MINDEF TUNGGU PERSETUJUAN KUWAIT - MOHAMED KHALED

14/07/2024 08:00 PM

SERI ISKANDAR, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (Mindef) kini hanya menunggu persetujuan kerajaan Kuwait berhubung perolehan pesawat F/A-18 Legacy Hornet untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sememangnya berminat mendapatkan pesawat berkenaan susulan perbincangan pihaknya dengan Kuwait dan penghantaran pasukan teknikal bagi membuat penilaian terhadap pesawat itu pada Jun lepas.

“Jadi, kita dalam proses dan kita hanya doa berharap kerajaan Kuwait boleh menimbang permintaan itu. Secara formal kita belum buat (perolehan), tetapi secara tidak formal mereka sudah tahu sebab kita telah hantar pasukan-pasukan kita untuk membuat penilaian terhadap kapal terbang.

“ … dan didapati bahawa ia sesuai untuk kegunaan kita dan juga selari dengan perancangan kita untuk mempunyai aset-aset tentera udara yang boleh menampung operasi dan cabaran yang kita hadapi di dalam kawasan negara pada masa ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit 2024 di sini hari ini. 

Pada Jun lepas, pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menjelaskan pihaknya masih dalam perancangan untuk memperoleh aset-aset seperti helikopter yang baharu, namun ia bergantung pada kewangan negara.

“Kementerian Kewangan memang sedang menimbang perkara-perkara ini … dengan kawasan dan rantau ini yang dinamik dan konflik yang berlaku semakin meningkat, Malaysia perlu memastikan kesiapsiagaan aset.

“ … dan juga angkatan kita supaya boleh menjaga keamanan dan kedaulatan negara, bukan untuk menyerang, tetapi juga bagi menjaga kedaulatan dan pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berhubung TUDM sebelum ini yang telah menyewa helikopter Leonardo AW 139 bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri yang ditamatkan operasi, selain mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC 725AP.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan