SUKAN

Paris 2024: Nicol Sokong Hamidin

14/07/2024 04:13 PM

PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) -- Meskipun berdepan kritikan netizen, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Olimpik Datuk Hamidin Mohd Amin mendapat sokongan timbalannya Datuk Nicol Ann David.

Berbaki kurang dua minggu sebelum Sukan Olimpik 2024 membuka tirai, bekas ratu skuasy kebangsaan itu memuji kepimpinan Hamidin ke atas kontinjen negara setakat ini.

"Datuk Hamidin merupakan penyokong sejati pasukan. Dan, segala yang berlaku itu sudah berlalu. Kini kita mahu fokus pada temasya berkenaan.

"Semua sudah bersedia dan tidak sabar untuk berangkat. Kami semua sudah bersiap-sedia dan mantap. Sekarang kami hanya perlu maju ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Herlot-Watt Malaysia pada upacara graduasi tahunan institut itu di sini, hari ini.

Antaranya, Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerima kritikan atas kenyataan beliau mengenai reka bentuk pakaian rasmi kontinjen negara, yang secara amnya tidak digemari peminat sukan di media sosial.

Bagaimanapun, susulan maklum balas bercampur-baur yang diterima ke atas reka bentuk bermotif harimau pada pakaian tersebut, yang dikatakan tidak cukup menyerlah, MOM telah memilih reka bentuk baharu yang menampilkan corak belang harimau lebih garang untuk pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu juga dikaitkan dengan krisis antara Selangor FC dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membawa kepada desakan supaya beliau melepaskan kedua-dua jawatannya sebagai presiden FAM dan CDM Malaysia ke Paris 2024.

Sementara itu, Nicol berkata memainkan peranan sebagai timbalan CDM sejak dilantik tahun lepas sangat menarik dan mengujakan.

Sebagai 'pemimpin kedua' kontinjen negara, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata jawatannya itu telah mendedahkan beliau kepada pelbagai jenis sukan dan atlet terutamanya cara mereka berlatih bagi menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.

"Ia merupakan pengalaman menimba pengetahuan kerana saya hanya tahu sukan saya sahaja (sebelum ini) dan hanya menumpukan pada diri sendiri ketika bertanding.

"Dan kini peranan saya sebenarnya ketika temasya di mana kami akan membantu atlet dalam apa jua cara, sama ada daripada jawatankuasa Olimpik kepada timbalan CDM dan saya sendiri berhubung hal-hal bagi logistik, pengangkutan dan jadual," katanya.

Sementara itu, bekas juara dunia lapan kali itu percaya pelantikannya sebagai Pro-Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia menunjukkan bahawa atlet turut mempunyai peluang dalam bidang kepimpinan dan boleh menyumbang kepada generasi muda khususnya pelajar.

Nicol, 40, mengambil alih jawatan itu daripada doktor dan sukarelawan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada 17 Mei lepas.

Majlis graduasi hari ini menyaksikan universiti itu memberi penghormatan kepada pencapaian 300 siswazah daripada pelbagai bidang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan