POLITIK

TIADA USUL JAWATAN DALAM BERSATU TIDAK DIPERTANDINGKAN - RONALD

14/07/2024 04:44 PM

KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Tiada usul dikemukakan untuk tidak mempertandingkan jawatan dalam parti Bersatu, terutama melibatkan peringkat tertinggi, pada pemilihan parti itu yang bakal berlangsung Oktober ini.

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata nama-nama yang dikemukakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam hanyalah sebagai calon yang dicadangkan, dan parti itu menyerahkan kepada akar umbi untuk membuat keputusan pada pemilihan berkenaan.

“Kita masih pertandingkan (jawatan dalam parti), tetapi kita ada semangat musyawarah, perundingan yang baik dipersetujui oleh perwakilan. Masih pertandingan terbuka … tetapi telah dirunding dan dibincang secara baik bersama.

“Dalam konteks semalam, Datuk Seri Peja (Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) berjiwa besar akur duduk (akan bertanding) sebagai Naib Presiden … satu pengorbanan besar untuk parti ini,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Peraturan Persidangan Tahunan Bersatu di sini hari ini.

Turut hadir Ahmad Faizal, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata Hamzah dicadangkan untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu, manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung parti.

Ditanya tentang persediaan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata parti itu akan bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN), namun masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan parti lain.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata keputusan untuk memberi laluan kepada Hamzah sebagai Timbalan Presiden Bersatu dilakukannya dengan rela hati bagi memastikan parti itu terus diperkukuh untuk membantu rakyat di negara ini.

“Saya antara (pemimpin) yang mengasaskan parti ini dan saya mahu melihat parti ini terus berjaya. Saya yakin dengan perjuangan dibawa parti ini dan dibawa Presiden (Muhyiddin), jadi obor perjuangan ini kami bawa bersama tanpa perlu fikir siapa ke depan atau belakang. Semua main peranan,” katanya.

Bersatu akan mengadakan pemilihan parti dari 12 hingga 26 Okt yang menyaksikan ahli dan perwakilan memilih pemimpin di semua peringkat.

Persidangan tahunan parti itu akan bermula pada 20 Julai hingga 31 Ogos melibatkan cawangan dan peringkat bahagian pada 12 hingga 26 Okt.

Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda pula diadakan pada 28 Nov, manakala  Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi pada 29 Nov dan Perhimpunan Agung Tahunan parti dijadualkan pada 30 Nov hingga 1 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan