EKONOMI

TINGKATKAN EKSPORT KERETA, ALAT GANTI & KOMPONEN UNTUK JADIKAN MALAYSIA HAB AUTO SERANTAU

15/07/2024 10:47 AM

Oleh Zairina Zainudin dan Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Potensi Malaysia untuk muncul sebagai hab automotif bagi Asean bukan sahaja terletak melalui strategi untuk meningkatkan eksport kereta, malah turut bergantung kepada kenaikan eksport bagi alat ganti dan komponen.

Bagi mencapai matlamat ini, syarikat automotif dan alat ganti di Malaysia perlu bekerja keras untuk meningkatkan eksport kereta yang ketara bagi mencapai skala ekonomi dan membolehkan alat ganti kereta dijual pada harga lebih kompetitif.

Peningkatan volum jualan berupaya mengurangkan kos pengeluaran, menjadikannya lebih berdaya saing berbanding negara serantau dan negara jiran yang mempunyai alat ganti kereta lebih murah berikutan volum jualan yang tinggi.

Pengeluar kereta, penyelidik industri auto dan pakar ekonomi yakin bahawa usaha ini penting untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi Asean dan memanfaatkan hampir 700 juta jumlah pengguna di rantau ini.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Azrul Reza Aziz menyeru agar pengilang peralatan asal (OEM) bukan sahaja mengeksport kereta, malah alat ganti dan komponen.

“Ini sekali gus meningkatkan daya saing keseluruhan industri automotif Malaysia,” katanya sebagai mengulas laporan mengenai kos rantaian bekalan Malaysia yang dikatakan 30 peratus lebih tinggi berbanding China, dan 10 peratus lebih mahal berbanding Thailand.

Azrul Reza menegaskan bahawa adalah penting untuk memberi perhatian bahawa kos ini berbeza dengan ketara bergantung kepada struktur kos, model kereta dan ekosistem rantaian bekalan setiap syarikat.

Beliau menekankan bahawa syarikat mungkin mempunyai tahap pengalaman yang berbeza dari segi rantaian bekalan, yang memberi kesan terhadap kecekapan kos keseluruhan masing-masing.

Tidak dinafikan bahawa Malaysia perlu menumpukan kepada banyak aspek memandangkan walaupun negara ini mencatat pertumbuhan ketara, jumlah pengeluaran industri (TPV) Malaysia hanya mencatat 775,000 kenderaan berbanding TPV China iaitu kira-kira 30 juta kenderaan dan Thailand (1.8 juta kenderaan).

Azrul Reza berkata syarikat Malaysia perlu melakukan transformasi dengan memanfaatkan kemajuan digital, menggunakan teknologi Industri 4.0 (IR4.0) untuk menangani cabaran.

Langkah ini penting memandangkan negara berhasrat mencapai negara neutral karbon menjelang 2050, memfokuskan kepada pembangunan komponen kenderaan elektrik (EV), kenderaan autonomi (AV) dan Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Berikutan kekangan untuk membeli bahan mentah secara pukal akibat implikasi kos dan perbelanjaan tambahan bagi mengendali dan menyelenggara stok, penyelesaian digital menawarkan kelegaan dari segi cerapan dan penyelesaian segera.

“Selain itu, penyelesaian digital meningkatkan kecekapan dan penambahbaikan yang berkesan dalam penyelidikan dan pembangunan, terutama melalui penggunaan teknologi kejuruteraan terbantu komputer dan pembuatan bahan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain berkata kumpulan penduduk, kenderaan dan rangkaian penyelenggaraan domestik di China dan Thailand adalah jauh lebih besar berbanding Malaysia.

Kurangnya pergantungan mereka terhadap eksport menunjukkan bahawa vendor di negara berkenaan kurang terdedah kepada kadar pertukaran yang berubah-ubah.

Selain itu, beliau berkata kos sedemikian sebahagian besarnya didorong oleh tolakan dan tarikan permintaan dan penawaran.

“Walaupun Malaysia mempunyai rantaian bekalan automotif yang agak berpengalaman, sejak lebih 50 tahun lepas, kos untuk membina, atau merancakkan pembuatan komponen dengan teknologi baharu adalah sangat tinggi.

"Kaedah paling berkesan bagi mewajarkan pelaburan ini adalah untuk Malaysia meletakkan kedudukannya sebagai hab eksport," katanya.

Mohd Shamsor berkata industri automotif tempatan perlu membangunkan kecekapan dari segi kualiti, kemampuan dan produktiviti alat ganti keluaran tempatan dengan mengembangkan volum eksport dan meningkatkan kapasiti OEM.

Beliau berkata pada kebiasaannya, pengeluar mempunyai perspektif berbeza mengenai bagaimana model perniagaan mereka distrukturkan, dan kos adalah antara aspek yang boleh dipertimbangkan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan