AM

BEKAS ADUN NANGKA ANGKAT SUMPAH AHLI DEWAN NEGARA

15/07/2024 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed di Dewan Negara hari ini.

Pelantikan Awang Bemee adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh bermula hari ini sehingga 14 Julai 2027.

Beliau pernah menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu. 

Penasihat Undang-undang PBB dan Pegawai Awam Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga kini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan Pengarah Sarawak Plantation Berhad. 

"Saya mengambil peluang untuk mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah menamakan saya sebagai senator dan telah diterima oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“... saya ucapkan sekali terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan dan keyakinan untuk saya dilantik sebagai Ahli Dewan Negara...kita berterima kasih dan menghargai anak Sarawak dapat penghormatan dan pengiktirafan untuk berkhidmat kepada negara.

“Kita akan memberi khidmat terbaik untuk negara," katanya dalam sidang media selepas mengangkat sumpah di bangunan Parlimen hari ini. 

Beliau merupakan pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan, sejak mula diterima sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984.

Dilahirkan pada 22 Jun 1959, Awang Bemee adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan