AM

UMT JALIN KERJASAMA DENGAN PENENTU, SABASUN BAGI TERNAKAN IKAN TALAPIA GUNA TEKNOLOGI RAPID BIOFLOC

15/07/2024 09:00 PM

KUALA NERUS, 15 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama dengan Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) dan Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd (Sabasun) untuk mengusahakan ternakan ikan talapia menggunakan teknologi Rapid Biofloc daripada UMT.

Pemangku Naib Canselor UMT Prof Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata melalui kerjasama itu, UMT melalui anak syarikatnya UMT Jaya Holding Sdn Bhd (UMTJ) akan memberi bimbingan kepada peserta untuk menternak ikan talapia menggunakan kaedah berkenaan.

Beliau berkata untuk permulaan, projek itu melibatkan lapan peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di daerah Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Besut.

“Teknologi Rapid Biofloc ini telah dibangun dan diinovasi oleh pensyarah yang juga penyelidik UMT iaitu Prof Madya Ts Dr Nor Azman Kasan. Keberhasilannya telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

“Oleh itu UMT ingin berkongsi dan membawa teknologi ini kepada masyarakat, untuk membantu menjana sumber ekonomi dengan lebih baik,” katanya selepas majlis penandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara UMTJ, Sabasun Hyperuncit dan Penentu di Canselori UMT, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Zamri berkata hasil keluaran peserta akan dijual kepada Penentu dan Sabasun yang berperanan sebagai ejen pemasaran.

Beliau berkata sekiranya berjaya, pihaknya menjangkakan hasil tuaian ikan setiap peserta boleh menjangkau sehingga lapan tan setahun.

“Teknologi Rapid Biofloc UMT membolehkan bioflok terbentuk seawal 10 hari berbanding 30 hari jika menggunakan kaedah konvensional.

“Kelebihan lain teknologi ini termasuk kepadatan ikan dapat ditingkatkan, kos makanan lebih rendah, ikan tidak berbau hanyir atau berbau tanah. Malah air juga tidak perlu ditukar sepanjang tempoh pembesaran untuk satu kitaran lima hingga enam bulan,” katanya.

Mohd Zamri berkata projek itu akan bermula awal bulan depan dengan anggaran kos antara RM80,000 hingga RM100,000 untuk satu projek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan