JENAYAH & MAHKAMAH

KEROPOK BERACUN: REMAN PEKEBUN DISAMBUNG DUA HARI

16/07/2024 01:28 PM

KULIM, 16 Julai (Bernama) -- Reman seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian dua beradik termakan keropok beracun baru-baru ini, disambung dua hari lagi. 

Perintah reman ke atas pekebun berusia 33 tahun itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mirza Mohamad selepas permohonan pihak polis.

Lelaki berkenaan sebelum ini direman enam hari bermula 11 Julai lepas. 

Siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berhubung benda beracun.

Dalam kejadian pada 7 Julai, Muhammad Aqil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammas Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok yang dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Kulim.

Makanan ringan itu dikatakan diletakkan pada pagar sebuah kebun oleh pemilik kebun berkenaan, bertujuan memerangkap monyet yang mengganggu tanaman di situ.

Setelah empat hari menerima rawatan, Muhammad Aqil Syauqi menghembus nafas terakhir kira-kira 8.30 pagi pada Rabu di Hospital Pulau Pinang, sementara adiknya meninggal dunia pada 1.20 tengah hari, dua hari kemudian, di hospital sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan