JENAYAH & MAHKAMAH

SINDIKET CURI MOTOSIKAL DIDALANGI REMAJA TUMPAS

16/07/2024 11:16 AM

MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket curi motosikal 'Geng Botak' didalangi enam remaja bawah umur yang aktif di sekitar negeri itu sejak setahun lepas dalam Op Lejang, pada 4 hingga 7 Julai lepas.

Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Md Nazri Zawawi berkata kesemua remaja lelaki bawah umur berusia 13 hingga 17 tahun, termasuk ketua kumpulan itu dikenali sebagai 'Botak' berusia 13 tahun, ditahan di beberapa lokasi berasingan.

"Geng Botak berjaya ditumpaskan susulan aduan seorang pekerja kontrak yang kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 selepas diparkir di rumahnya di Kampung Padang Temu pada 11 malam, 3 Julai lepas.

"Berdasarkan aduan itu, tangkapan pertama melibatkan tiga ahli kumpulan itu berusia 13, 14 dan 15 termasuk ketuanya di sekitar Semabok, Sungai Udang dan Masjid Tanah pada 1 petang, 4 Julai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan kedua melibatkan seorang anggota kumpulan itu berusia 15 tahun yang ditahan di tepi Jalan Sungai Badau di sini pada 6 Julai manakala dua remaja lagi berusia 16 dan 17 tahun ditahan di tepi Jalan Taman Paya Rumput pada 7 Julai.

Susulan penangkapan itu, katanya enam motosikal yang dilaporkan hilang turut dirampas dan polis percaya enam kes kecurian motosikal didalangi kumpulan berkenaan berjaya diselesaikan.

Md Nazri berkata modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan motosikal yang diparkir di luar rumah tidak berpagar dan kenderaan itu digunakan sendiri oleh kesemua suspek.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing menunjukkan tiada penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan