AM

SARAWAK SEDIA PERUNTUK PELABURAN BESAR UNTUK PENANAMAN PADI 

12/07/2024 07:05 PM

BINTULU, 12 Julai (Bernama) -- Sarawak bersedia membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk penanaman padi bagi memastikan negeri ini mampu menyediakan bekalan yang mencukupi, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 3000 hektar untuk penanaman padi iaitu di Tanjung Bijat, Stumbin dan Lingga di Sri Aman selain di Gedong (Simunjan) dan Lundu.

Berdasarkan model penanaman yang dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia, kawasan itu mampu menghasilkan sehingga 240,000 tan padi setahun.

“Maknanya kita mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan beras. Kita tidak perlu import beras jika kita ambil kira kawasan Lembah Limbang-Lawas dan kawasan di Miri, kita ada lebihan. Kemudian kita boleh berkongsi dengan Semenanjung. 

“Maka seluruh negara akan mempunyai beras yang mencukupi. Ini sasaran kita untuk penanaman padi dan kerajaan Sarawak sanggup melabur...,” katanya semasa merasmikan majlis penutup Sustainable Agriculture and Food Security Congress (COSAFS2024) di sini hari ini.

Justeru itu, Sarawak perlu melabur dalam tiga komponen penting iaitu teknologi, infrastruktur dan akses pasaran.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk pengairan di kawasan berkenaan dengan RM32 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek pengairan di Gedong.

“Dan selepas itu kita akan menambah baik sistem pengairan di Sri Aman dan Lundu,” katanya.

Sarawak juga memperuntukkan hingga RM20 bilion untuk menambah baik kemudahan jalan raya ke kawasan pantai di luar bandar.

Beliau berkata projek pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak yang sedang dilaksanakan menelan kos hampir RM400 juta dan apabila siap kelak bukan sahaja menghubungkan Bintulu dan kawasan Jepak tetapi juga membuka tanah untuk pengeluaran makanan sehingga ke kawasan Tatau.

Abang Johari berkata walaupun Sarawak menumpukan kepada minyak dan gas serta aktiviti hiliran serta mineral, pembangunan sektor lain turut menjadi tumpuan termasuk perkhidmatan dan pertanian, sebagai sebahagian dasar makroekonomi. 

Ini diharap dapat mengubah spektrum ekonomi serta menyumbang kepada kemampanan yang turut terangkum dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan