EKONOMI

MUSTAPA MOHAMED TERIMA ANUGERAH UTAMA ATAS SUMBANGAN KUKUHKAN HUBUNGAN JEPUN-MALAYSIA

16/07/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dianugerahi Grand Cordon of the Order of the Rising Sun sebagai menghargai sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Jepun dan Malaysia.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko berkata Mustapa, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), menerima anugerah tersebut daripada Maharaja Jepun.

"Saya ingin mengetengahkan sumbangan beliau dalam lima bidang utama, iaitu Dasar Pandang Ke Timur, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), operasi syarikat Jepun semasa pandemik COVID-19, pembekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil ke Jepun dan Kerjasama Neutral Karbon di antara Jepun dan Malaysia," kata Takahashi dalam ucapannya sempena majlis pengurniaan anugerah itu di sini, hari ini.

Beliau berkata Jepun dan Malaysia adalah penandatangan asal CPTPP, dan melalui perjanjian perkongsian ekonomi itu, kedua-dua negara bekerjasama untuk memajukan ekonomi dan menggubal peraturan di rantau Indo-Pasifik.

"Pada masa ini, Jepun adalah rakan kongsi pelaburan dan perdagangan keempat terbesar di Malaysia. Tambahan pula sebanyak 1,600 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia, dan ia telah berkembang melangkaui sektor pembuatan termasuk perkhidmatan dan peruncitan.

“Dari segi LNG, Jepun telah menjadi destinasi eksport LNG terbesar Malaysia sejak Malaysia mula mengeksport LNG pada 1983,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata anugerah berkenaan adalah bukti ikatan yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara dan komitmen bersama mereka untuk memupuk keamanan, kemakmuran, persefahaman secara bersama dan bekerjasama.

"Sejak 40 tahun yang lalu, saya gembira dengan hubungan yang sangat erat dan mesra antara saya, Duta Jepun ke Malaysia serta komuniti perniagaan Jepun melalui Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (JACTIM).

"Dua sumbangan paling penting pada pandangan saya, ialah dalam pembangunan modal insan Malaysia, yang bermula pada 1982 apabila Dasar Pandang Ke Timur dilancarkan, dan pertumbuhan sektor pembuatan negara," kata Mustapa dalam ucapannya di majlis itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan