SUKAN

PANGSAPURI MEWAH BERNILAI RM1 JUTA NANTI PEMENANG EMAS OLIMPIK

16/07/2024 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) --Pangsapuri servis mewah bernilai RM1 juta di Setia Alam menanti atlet negara pertama memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah menerima tawaran daripada pemaju hartanah, Top Residency, yang berminat untuk menghadiahkan pemenang pingat emas pertama.

Beliau juga mengumumkan penajaan peribadi berjumlah RM1 juta daripada Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Bhd (Senheng) Lim Kim Heng kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016.

Sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai berkenaan akan dikongsikan sama rata antara mereka.

“Emas Olimpik adalah kebanggaan Malaysia. Jadi inilah platform untuk sektor swasta memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila membawa pulang emas,” katanya pada sidang media mengumumkan insentif penajaan Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata ada beberapa lagi penaja telah menghubungi Jawatankuasa RTG dan kini menguruskan dokumen guaman bagi memastikan komitmen tawaran insentif itu jelas dan sahih.

Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Atlet turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.

Bulan lepas, Chery Malaysia mengumumkan ganjaran berupa sebuah  kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada pemenang pingat Olimpik iaitu Tiggo 8 Pro untuk pemenang pingat emas, Omoda E5 untuk pemenang perak dengan Tiggo 7 Pro untuk pemenang pingat gangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan