AM

PARLIMEN: PADU TIDAK TERIKAT DENGAN AKTA 709 - GOBIND

16/07/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengumpul data rakyat Malaysia bagi membantu kerajaan antara lain mengukur kedudukan sosioekonomi dengan lebih tepat dan tidak terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2024 (Akta 709).

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ini kerana akta itu adalah bagi mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

"Sebab itu kalau tanya soalan adakah PADU terikat dengan Akta 709, jawapannya tidak kerana undang-undang ini distruktur sedemikian rupa bagi transaksi komersial.

“Itu menjawab soalan berkaitan PADU kerana PADU ini data di peringkat kerajaan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 sebelum ia diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data daripada jabatan serta agensi kerajaan untuk memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosioekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Gobind berkata ia tidak bermaksud Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai liabiliti atau tanggungjawab dalam pengendalian data.

Beliau berkata ini kerana terdapat undang-undang lain seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 dan pekeliling yang mengikat pegawai serta penjawat awam. 

Mengenai rang undang-undang bagi meminda Akta 709, Gobind berkata ia antaranya bertujuan menaikkan kadar denda daripada RM300,000 kepada RM1 juta bagi kesalahan dilakukan pengawal data atau pemproses data yang melanggar prinsip perlindungan data peribadi.

Beliau berkata rang undang-undang itu penting sebagai persediaan ke arah perkembangan teknologi dan penggunaan data yang semakin meluas pada masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan