AM

MH17: IBU RINDU NUR SHAZANA, TRAUMA BUNYI PESAWAT

17/07/2024 08:21 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop & Ima Aimi Nadia Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Rasa rindu dan sedih sentiasa menyelubungi ahli keluarga tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17, yang ditembak jatuh ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine meskipun insiden menggemparkan dunia itu, sudah 10 tahun berlalu.

Sharom Bee Md Ibrahi, 67, ibu kepada Nur Shazana Mohamed Salleh yang terkorban dalam nahas pesawat berkenaan, mengakui masih terkenangkan anak sulungnya itu yang disifatkan sebagai seorang peramah dan mudah mesra.

Beliau berkata sepanjang tempoh 10 tahun itu, perasaan sedih dan rindu sentiasa bertandang terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sharom Bee berkata ketika umat Islam menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran, hatinya diselubungi pilu kerana merindui anaknya itu, tambahan pula kejadian yang menimpa Nur Shazana berlaku pada bulan puasa.

“Kalau tanya makcik, tiada satu pun keletah atau apa sahaja berkenaan Shazana yang makcik lupakan...sedih, sangat sedih dan rindu bila teringatkan arwah tambahan pula dia pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya dengan sebegitu.

“Kami sekeluarga sampai sekarang sentiasa mengunjungi kubur arwah di Putrajaya dan makcik sendiri memang akan minta anak-anak lain bawa ke sana untuk melepaskan rindu kepadanya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nur Shazana antara 15 anak kapal pesawat MH17 yang ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine, sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 80 kanak-kanak.

Mangsa terdiri daripada penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom.

Sharom Bee yang tinggal di Bayan Baru, dekat sini berkata sehingga kini beliau mengalami masalah tidur pada waktu malam, kerana akan terjaga apabila terdengar bunyi kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang berada tidak jauh dari rumahnya, kerana masih trauma dengan insiden itu.

“Setiap kali melihat dan mendengar bunyi kapal terbang saya akan teringatkan arwah dan sehingga hari ini saya trauma mendengar bunyi pesawat, saya juga buat keputusan untuk pindah dari rumah di sini kerana sehingga hari ini saya masih susah untuk tidur kerana sering mendengar bunyi kapal terbang,” katanya.

Mengimbau kenangan ketika bersama Nur Shazana yang berumur 31 tahun ketika tragedi itu, Sharom Bee berkata semua kenangan bersama arwah akan terus tersemat dalam hatinya dan setiap kali perasaan rindunya kepada Nur Shazana, beliau akan melihat gambar-gambar arwah yang ada dalam simpanannya bagi melepaskan rindu.

Beliau berkata kejadian nahas kapal terbang terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Ogos tahun lepas, antara perkara yang membuatkan beliau turut terkesan dan serta merta mengingatkan Nur Shazana, kerana seorang daripada mangsa iaitu Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki ialah anak saudaranya.

Sharom Bee berkata malah Mohamad Taufiq, 37, juga merupakan antara sepupu yang rapat dengan Nur Shazana dan kedua-dua mereka ‘pergi’ meninggalkan keluarga dalam keadaan yang sama, iaitu ketika berada dalam kapal terbang.

Sementara itu, ibu kepada ketua pramugari MH17, Habibah Ismail, 75, pula masih mengharapkan keadilan buat anaknya Azrina Yakob, 41, dan sentiasa mengikuti semua perkembangan tragedi itu.

Beliau berkata walaupun sudah 10 tahun, tiada satu hari pun tiada perasaan rindu kepada anaknya itu.

“Rindu itu sudah pastinya sentiasa ada dan kuat..itu anak kita, mestilah rindu...arwah memang sibuk dengan kerjaya dan keluarganya, tetapi semasa dia masih ada memang selalu berhubung dengan saya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan