AM

MALAYSIA KOMITED CAPAI MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI PBB – NGA

17/07/2024 09:57 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Malaysia komited untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) serta mengutamakan kesejahteraan rakyatnya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga dalam penyampaian kenyataan negara di Forum Politik Peringkat Tinggi sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, menekankan komitmen Malaysia untuk mempercepat pelaksanaan SDGs melalui pendekatan strategik dan inovatif yang dirancang dan diketuai oleh kementerian berkaitan.

"Matlamat Pembangunan Lestari PBB adalah sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menstruktur semula ekonomi negara.

“Kita mesti mengelakkan jurang antara golongan kaya dan miskin dalam bandar. Kita tidak boleh membenarkan sebahagian bandar kita diduduki oleh golongan miskin dan sebahagian lagi oleh golongan kaya," katanya dalam kenyataan negara itu yang disediakan kementeriannya.

Forum dua hari bermula semalam (16 Julai) bertemakan  ‘Memperkukuhkan Agenda 2030 dan Membanteras Kemiskinan Di Tengah-Tengah Pelbagai Krisis’ berperanan sebagai platform untuk menjejaki pelaksanaan dan pencapaian matlamat pembangunan lestari.

Ia disertai 153 ketua negara dan 17 organisasi antarabangsa.

Dalam pada itu, Nga dalam perhimpunan itu turut menyebut tentang matlamat kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk memperkasa dan mempercepat transformasi ekonomi negara, mempergiatkan aktiviti perdagangan serta meningkatkan produktiviti.

"Kami berharap untuk mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata sejak Februari tahun lepas, kerajaan telah melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat untuk membantu golongan miskin tegar, golongan miskin dan kumpulan pendapatan rendah untuk menghasilkan pendapatan yang mampan serta tidak hanya bergantung kepada bantuan tunai langsung.

"Kerajaan juga telah mengambil tindakan berani dan luar biasa bulan lepas selepas beberapa dekad dengan mengalih bantuan subsidi bahan api diesel dari pendekatan umum kepada pendekatan bersasar," katanya. 

 Nga turut menyeru semua negara ahli PBB untuk menyokong gencatan senjata di semua kawasan konflik.

"Tiada pembangunan lestari atau kemakmuran jika tiada keamanan.

"Kita perlu berganding bahu untuk menyelamatkan nyawa yang terjejas oleh peperangan sebelum kita boleh berbincang mengenai pembangunan lestari global di dunia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan