EKONOMI

AEROTRAIN KLIA DIJANGKA BEROPERASI SEMULA PADA SUKU PERTAMA 2025

17/07/2024 12:13 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula pada suku pertama 2025, kata Kementerian Pengangkutan (MOT). 

Langkah itu selaras dengan pelan penggantian Aerotrain di Terminal 1, KLIA yang dijadual siap sepenuhnya pada 31 Jan, 2025. 

“MOT dan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) amat komited untuk memastikan pelan penggantian Aerotrain ini berjalan lancar mengikut garis masa ditetapkan," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta perincian status projek system penggantian aerotrain KLIA, termasuk perjanjian baharu dimeterai oleh MAHB serta anggaran kos projek berkenaan.

Mengulas perjanjian baharu itu, MOT berkata MAHB telah memeterai surat perjanjian dengan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd dan usaha sama bersama Pestech Technology Sdn Bhd (IJMCPestech JV) pada 12 Jan, 2024.

Bagi menyegerakan garis masa pelaksanaan penggantian aerotrain itu, MAHB juga telah menandatangani suatu perjanjian baharu bersama pihak ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd pada 14 Jun, 2024, bagi memastikan projek ini dapat disiapkan sepenuhnya pada tarikh berkenaan, kata MOT. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan