EKONOMI

TBPSB TIADA RANCANGAN JADIKAN PELABUHAN TANJUNG BRUAS HAB KARGO LAUT-UDARA

17/07/2024 11:08 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Tanjung Bruas Port Sdn Bhd (TBPSB) pada masa ini tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjadikan Pelabuhan Tanjung Bruas (TBP) di Melaka sebagai hab kargo laut-udara, kata Kementerian Pengangkutan (MOT). 

Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa, kementerian itu berkata TBPSB yang juga operator pelabuhan di TBP, pada masa ini mengendalikan kargo import atau eksport menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Subang dan Senai.

 “Sebagai pintu masuk utama import dan eksport bagi Melaka, TBP berpotensi besar untuk berkembang dan menjadi pelabuhan pelbagai guna utama di Melaka, Negeri Sembilan dan kawasan utara Johor,” kata kementerian.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang meminta MOT menyatakan peranan TBP di Melaka sebagai hab kargo laut-udara selain menyediakan perkhidmatan perantara kontena ke Pelabuhan Klang (PKL).

TBP melancarkan perkhidmatan perantara itu bagi laluan TBP-PKL-TBP bersama syarikat perkapalan CMA CGM bermula pada 3 Jan, 2024, dengan menyasarkan pengimport dan pengeksport perabot.

MOT berkata perkhidmatan berkenaan masih di peringkat percubaan selama enam bulan dengan singgahan kapal sebanyak dua kali sebulan dan berpotensi ditingkatkan kepada empat singgahan sebulan dengan kapasiti pengendalian 200 unit bersamaan 20 kaki (TEU) sebulan. 

“Prestasi pengendalian perkhidmatan itu bagi tempoh Januari – Mac 2024 telah merekodkan kendalian eksport sebanyak 194 TEU manakala import sebanyak 220 TEU,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan