AM

KPT SETUJU KEKALKAN INSENTIF KECEMERLANGAN BAGI SUKIPT 2024

17/07/2024 01:06 PM

SINTOK, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju mengekalkan beberapa Insentif Kecemerlangan bagi Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 yang telah diperkenalkan sebelum ini untuk meningkatkan semangat dan motivasi atlet yang bertanding pada temasya itu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata antara insentif berkenaan ialah pemberian wang tunai berjumlah RM3,000 bagi atlet yang dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati SUKIPT 2024.

“Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT masing-masing akan menerima wang tunai RM7,000. Pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang atau ‘hole-in-one’ bagi sukan golf juga ditawarkan wang tunai RM1,000.

“Suka juga saya umumkan di sini bahawa wang tunai berjumlah RM20,000 akan diberikan secara bersama kepada atlet-atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan di kejohanan ini juga dikekalkan bagi penganjuran SUKIPT 2024,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya Datuk Mustapha Sakmud semasa melancarkan SUKIPT 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Zambry berkata pihaknya mencabar semua atlet yang terbabit dalam SUKIPT untuk mengambil peluang keemasan itu khususnya insentif RM20,000 yang sebelum ini belum ada atlet yang mampu memecahkan rekod kebangsaan dalam apa-apa acara sukan yang dipertandingkan.

Beliau berkata KPT amat komited dengan usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara melalui penganjuran acara sukan berskala tinggi, bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut Zambry ia penting bagi mengekalkan momentum kecemerlangan prestasi atlet IPT dan negara di peringkat tertinggi, termasuklah di Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

SUKIPT 2024 yang akan berlangaung dari 6 hingga 14 Sept ini di UUM bakal mempertandingkan 28 acara dengan sejumlah 233 pingat emas untuk direbut.

Sebanyak 74 kontinjen telah mengesahkan penyertaan dengan kehadiran lebih 6,000 atlet, 2,500 pegawai dan lebih 400 sukarelawan di 23 venue.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan